Malaysia Dateline

Pelajar terbaik subjek agama Islam jadi wakil rakyat DAP

Namanya tiba-tiba popular semasa insiden di Dewan Undangan Negeri Perak pada tahun 2008 apabila beliau diangkat beramai-ramai oleh polis keluar dari Dewan dan dikunci dalam stor.

Selama beliau dalam stor dua jam, berlaku ‘rampasan kuasa’ di Dewan Undangan Negeri Perak apabila pihak BN melantik Speaker baru.

Pada masa itu, saya masih di UK dan menyaksikan peristiwa itu daripada internet. Sejarah telah tercatat. Tak akan terpadam, biar seribu tahun lagi. Inilah perkisahan Sivakumar a/l Varatharaju yang saya panggil YB Siva.

Anggota polis yang mengunci Siva dalam stor meminta maaf kepada beliau pada masa itu. Mereka terpaksa melakukan tugasan yang diarahkan oleh pihak atasan. Siva maafkan sahaja. Tambahan pula melihat riak wajah mereka yang tertekan dan serba salah.

Pakatan Rakyat (PR) merasakan bahawa keselamatan Siva dalam bahaya. Dalam masa yang sama, Siva ditawarkan pelbagai imbuhan untuk melompat ke BN. Meski beliau enggan, pimpinan lain merasakan tidak selamat untuk beliau.

Akhirnya beliau disimpan selama dua minggu di kediaman rasmi MB Perak secara rahsia. Ketika itu, Nizar Jamaluddin masih tinggal lagi di kediaman tersebut. Himpunan, majlis bacaan Yasin dan ceramah diadakan di kediaman itu. Panas tempoh tersebut.

Selepas Siva mempengerusi Sidang DUN di bawah pokok di Medan Istana, keadaan politik Perak semakin meruncing.

Orang politik tidak pernah mati dalam politik. Lagi ditekan, lagi melawan. Lagi dibuang, lagi orang sayang.

Perbahasan tentang keabsahan kedudukan beliau sebagai speaker dan sidang dibincangkan oleh pakar undang-undang dan orang awam dalam dan luar negara.

Pimpinan PR Perak membuat keputusan untuk memindahkan Siva daripada Perak dan mendapatkan tempat yang lebih selamat. Akhirnya Siva dibawa ke Kelantan yang sedang diperintah oleh Pas di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Pada kesempatan itu, Tok Guru mengangkat tangan membaca doa keselamatan buat Siva yang bukan Islam. Tok Guru mahu Siva selamat di negeri bawah wahyu.

Sivakumar bersama buku penulis

Tok Guru mahu demokrasi dikembalikan di Perak. Sambil mendengar Tok Guru berdoa, Siva mengangkat tangan dan menyusun sembah berdoa pada Sivannya.

Siva berada dalam buangan negeri selama dua bulan di Kelantan. Sepanjang dalam buangan itu, beliau berpindah sebanyak lapan kali bagi memastikan pihak keselamatan atau pihak tertentu tidak dapat mengesan.

Sebagai seorang vegetarian, pihak Pas Kelantan memastikan Siva mendapat bekalan makanan yang sesuai tanpa gagal. Sepanjang tempoh buangan itu, perhubungan luar beliau dikawal.

Sim kad ditukar setiap minggu. Husam Musa diberi tanggungjawab bagi memastikan keselamatan Siva terjamin. Mendengar ceritanya, seperti cerita James Bond bertembung dengan agen KGB.

Apabila saya kembali ke tanah air dan aktif balik dengan Pas, kami bersama dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak. Saya ketika itu adalah Setiausaha Sekretariat Pakatan Rakyat Perak dan Setiusaha Badan

Perhubungan Pas Perak dan pejabat kami di pejabat Pas Perak di Medan Istana. Setiausaha Pakatan Rakyat Perak ketika itu ialah Dr. Khairuddin Dato Malek. Pakatan Rakyat Perak pada masa itu konsisten mengadakan mesyuarat dua kali sebulan.

DAP diwakili Nge Khoo Ham, Nga Kor Ming, Wong Kah Woh dan Siva sendiri. Manakala PKR diwakili oleh Dr. Muhamad Nor Manuti, Lee Boon Chye, Yunus Jamhari, Laksamana (B) Imran.

Pas pula diwakili Ustaz Abu Bakar Hussein, Nizar Jamaluddin, Asmuni Awi dan Dr. Khairuddin. Dari situlah kami membina kekuatan dalam menawarkan khidmat sebagai kerajaan kepada rakyat.

Beliau kini adalah Setiausaha Pakatan Harapan Perak dan memegang jawatan ini sejak 2015 dan Ahli Parlimen Batu Gajah. Banyak program yang saya uruskan sepanjang beliau menjadi Setiausaha Pakatan Harapan Perak.

Siva adalah antara pimpinan DAP yang fasih berbahasa kebangsaan. Bukanlah sesuatu yang menghairankan. Itulah yang sepatutnya sebagai seorang warganegara Malaysia dan pemimpin. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Bukan bahasa politik. Bukan sekadar bahasa orang Melayu.

Anak tempatan Ipoh ini merupakan anak kepada tentera darat berpangkat sarjan sebelum bersara dan bertugas sebagai penyelenggara setor di Rejimen 503, Ipoh.

Siva mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Coronation Park dan Sekolah Menengah Anderson. Pada peperiksaan SPM 1987, beliau satu-satunya pelajar bukan Islam yang mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam.

Sivakumar bersama-sama ahli Majlis Pimpinan PH Perak sedang menjamu selera selepas mereka bermesyuarat di Ipoh.

Pihak sekolah membenarkan dan ustaz yang mengajarnya banyak membantu beliau lebih memahami Islam. Semasa peperiksaan percubaan, beliau mendapat keputusan terbaik subjek tersebut.

Kalah pelajar-pelajar Islam sendiri. Kecoh satu Anderson pada tahun tersebut. Bagaimana orang bukan Islam lebih baik keputusan subjek Pengetahuan Agama Islam berbanding orang Islam sendiri?

Asas pelajaran Islam yang diperolehi itu dapatlah Siva memahami sedikit sebanyak akidah, fikah, tasawuf dan sejarah Islam. Mempelajari Islam bukan bermakna berakhir dengan menjadi muslim.

Belajar Islam bertujuan untuk memahami Islam dalam kaca mata seseorang yang berada dalam masyarakat pelbagai kaum. Memahami Islam mestilah melalui al Quran dan as Sunnah bukan dari perangai dan tabiat orang Islam.


Muhaimin Sulam adalah Ketua Koordinasi Komunikasi Pakatan Harapan Perak dan juga Naib Pengerusi Amanah Perak.

Buku terbaharu beliau, Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurat’ boleh diperolehi di kedai penulis di Shopee. https://shopee.com.my/muhaiminsulam?v=8be&smtt=0.0.3