Malaysia Dateline

Pelajar terkejut kena marah pihak masjid sebab isi air dalam botol guna air wakaf, AJK kata untuk ‘orang masjid sahaja’

Seorang pelajar di sebuah universiti awam berkongsi kisah memalukan yang dialaminya kerana mendakwa dimarahi seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid di universitinya gara-gara mengambil air minuman di sana.

Menerusi perkongsian pelajar berkenaan di WhatsApp yang kemudian tular di Twitter, seorang pakcik di masjid mengatakan bahawa air wakaf yang ada di sana hanya dikhaskan untuk ‘orang-orang masjid sahaja’.

Walaupun dia merupakan pelajar di universiti berkenaan, pakcik itu tetap melarang untuk mengambil air minuman bertapis di kawasan tersebut.

“Entah siapalah yang ajar mentaliti bodoh macam ni. Hak wakaf adalah hak umat.

“Bukan untuk ‘orang masjid’. Kejadian di salah satu universiti awam,” ciap seorang pengguna Twitter, @_AliAlHusaini yang memuatnaik tangkap layar kisah pelajar berkenaan.

Dalam tangkap layar tersebut, pelajar itu bercerita kejadian yang dialaminya itu di mana dia didatangi seorang pakcik ketika sedang mengisi air ke dalam botol minuman; “Tadi isi air minum dekat masjid, kemudian datang seorang pakcik ini.

“(Pakcik berkata) ‘adik, air ini guna untuk orang masjid duduk-duduk minum dalam ni. Bukan untuk buat bekal’

“Aik tapi ni kan masjid….., saya student tak boleh guna juga ka?,” tanya pelajar berkenaan.

Jawapan yang diberikan pakcik berkenaan juga mengejutkan kerana mengatakan pelajar berkenaan tetap tidak boleh mengambil air tapisan yang diwakaf di sana kerana air tersebut untuk orang masjid.

Mengenangkan apa yang berlaku terhadapnya, pelajar itu mengakui terasa hati mahu datang lagi ke masjid berkenaan yang merupakan tempat dia dan rakan-rakan selalu berkumpul bersama.

Meninjau ke ruangan komen, ramai yang tidak bersetuju dengan tidakan pihak masjid yang dianggap ‘berkira-kira’ dengan hak wakaf yang sepatutnya boleh dimanfaatkan semua orang.

Mereka juga menganggap tindakan seperti itulah yang menyebabkan ramai anak muda tidak mahu datang ke masjid selain menegur bahawa sepatutnya pihak masjid bertolak ansur lebih-lebih lagi dengan pelajar.

Baca juga: Ustaz Kazim tidak jadi bertanding, tarik diri sebagai calon BN

Baca juga: Ini 10 keutamaan Pakatan Harapan pulihkan Malaysia dan bina ekonomi masa hadapan