Seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan mengalami sawan di sebuah sekolah menengah di pinggir bandar Kangar, Perlis selepas dipercayai menghisap ‘vape’ atau rokok elektronik.
Ketika kejadian, pelajar berkenaan dikatakan keluar kelas tanpa kebenaran guru bersama dua rakan ketika sedang menduduki peperiksaan kertas Bahasa Inggeris di sekolah terbabit pada sekitar jam 9.35 pagi.
Mangsa kemudian dipapah masuk semula ke kelas dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mulut berbuih sewaktu guru lain mengambil alih tugasan mengawas peperiksaan, lapor Berita Harian.
Menurut Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Arifin, siasatan awal pihaknya mendapati pelajar itu dipercayai menghisap rokok elektronik berkenaan bersama rakannya di dalam tandas sekolah.
“Guru bertugas segera melaporkan perkara itu kepada pentadbir sekolah sebelum menghubungi pihak ambulans serta waris pelajar itu untuk membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah bagi rawatan lanjut.
“Hasil siasatan awal kita mendapati pelajar itu dipercayai menghisap vape bersama rakan di dalam tandas sekolah kira-kira pada jam 9.30 pagi.
“Namun buat masa ini, jenis vape terbabit belum dapat dikenal pasti oleh pegawai perubatan dan kita membantu pihak sekolah menyediakan laporan awal,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Rose memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengarahkan guru disiplin dan kaunselor sekolah untuk ke hospital tempat pelajar berkenaan dirawat bagi menjalankan siasatan lanjut.
“Jabatan pula menjalankan tindakan memaklumkan kepada keluarga pelajar terbabit dan menghubungi pihak ambulans.
“Selain itu, pihak sekolah menghantar laporan awal kepada Unit Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Perlis.” Ujarnya yang memberitahu bahawa pelajar itu sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah.
Baca juga: ‘Influencer’ jatuh sakit lepas bergurau tak jumpa arah kiblat di Makkah