Malaysia Dateline

Pelajar UNIMAS guna PdP secara dalam talian bermula Semester 2

Pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang akan memulakan Semester 2 Sesi 2019/2020 pada 9 Jun depan bakal menggunakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara talian.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, penggunaan PdP adalah selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebelum ini supaya kuliah secara dalam talian di Universiti Awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dilaksanakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, UNIMAS tidak membenarkan pelajar kembali ke kampus kecuali dengan alasan tertentu seperti ketiadaan akses internet bagi memulakan pengajian di kampung halaman.

“Untuk PdP ini, UNIMAS akan menggunakan sistem eLEAP dengan pensyarah akan membekalkan kandungan bahan pembelajaran dan merancang aktiviti kepada pelajar masing-masing dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan pelajar IPT Zon Sarawak yang pulang ke kampung halaman supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti amalan penjarakan sosial serta pemakaian topeng mulut dan hidung.

“Saya berharap, para pelajar mengurangkan pergerakan di luar dan hanya keluar membeli barang keperluan yang diperlukan sahaja bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar sendiri,” ujar beliau lagi.