Malaysia Dateline

Pelajar UNIMAS korban terbaharu COVID-19 di Sarawak

Satu lagi kematian baharu akibat COVID-19 dicatatkan di Sarawak semalam menjadikan jumlah keseluruhan 13 orang setakat ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata mangsa ke-13 adalah seorang wanita berumur 23 tahun yang menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan tinggal di Kota Samarahan.

“Kedua-dua ibu bapa mangsa juga disahkan positif COVID-19. Bagi kes ini (mangsa) telah menghadapi kesukaran bernafas pada 30 Mac 2020 dan dimasukkan ke wad ICU Hospital Umum Sarawak (HUS) pada hari yang sama dan meninggal dunia pada 9 April 2020 pada pukul 9.42 pagi,” ujar kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu enam kes baharu positif COVID-19 telah direkodkan semalam menjadikan jumlah kes di negeri sebanyak 312 sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

“Daripada enam kes ini, lima dirawat di HUS dan satu lagi di Hospital Bintulu,” jelas kenyataan itu lagi.