20 gerakan pelajar universiti menegaskan mereka akan berarak di jalan raya bagi menuntut penyelesaian segera dilaksanakan kerajaan sekiranya harga barang terus melambung.
Wakilnya yang juga Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa (KPUIAM), Aliff Naif Mohd Fizam, berkata kerajaan perlu untuk menyelesaikan isu masalah jaminan sekuriti makanan.
Bersama kempen dengan tanda pagar #Turun, beliau berkata, kerajaan wajib memandang serius dan memberikan penyelesaian jangka pendek dan panjang kerana ia membabitkan kelangsungan hidup rakyat.
Selain KPUIAM, antara gerakan mahasiswa terlibat ialah Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Angkatan Mahasiswa UM, Republican UKM, Idealis Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Turut terkandung dalam lima tuntutan kumpulan mahasiswa itu ialah desakan supaya dipotong gaji menteri dan timbalan menteri yang jumlahnya disifatkan sangat tinggi.
Mereka menegaskan pembayaran gaji menteri dan timbalan sebagai tidak masuk akal terutama ketika rakyat berdepan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
“Dengan saiz Kabinet yang besar, adalah lebih baik jika menteri menyahut tuntutan ini dan menunjukkan kebersamaan mereka bersama rakyat,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan juga dituntut memberikan bantuan yang bermaruah kepada semua lapisan masyarakat memandangkan bantuan sedia ada tidak dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan.
Mahasiswa, kata Aliff Naif, juga menuntut kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada dan tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain.
Beliau berkata, jika subsidi dihapuskan, masyarakat akan mengalami tekanan yang dahsyat.
Sehubungan itu, gerakan tersebut mencadangkan supaya kerajaan meletakkan harga siling yang tepat seperti menetapkan harga siling bagi dedak supaya harga ayam terus stabil.
Dalam masa sama, kumpulan aktivis penuntut universiti itu juga menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan serta makanan kafeteria dan vendor di universiti kerana berlaku peningkatan harga makanan yang mendadak.
“Kerajaan perlu mengambil kira golongan mahasiswa tidak ada pendapatan dan kami turut menggesa pelajar mengambil gambar sebagai bukti kenaikan harga untuk dilaporkan,” tambahnya lagi.
Baca juga PDRM buka kertas siasatan sebab orang ramai mengadu dapat mi segera perisa babi lepas derma darah