Pelajar universiti di Kedah didakwa tipu 7 NGO, guna duit derma yuran untuk berjudi atas talian

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pelajar daripada sebuah universiti yang terletak di Kedah didakwa telah menipu sekurang-sekurangnya tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan memohon bantuan untuk membayar yuran pengajian.

Walau bagaimanapun, wang sumbangan yang diberikan orang ramai melalui makluman NGO itu tidak digunakan oleh pelajar berkenaan untuk membayar yuran pengajian sebaliknya malah berjudi secara atas talian.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang tampil membuat satu laporan polis, semalam selepas NGO berkenaan didakwa turut menjadi mangsa penipuan pelajar tersebut.

Menurut Zuraini, pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai Lim itu menghubunginya pada Ahad lalu untuk membantunya mendapatkan dana berjumlah RM5,000 bagi membiayai pengajiannya, lapor Berita Harian.

Selain memberikan alasan bahawa ahli keluarganya tidak berkemampuan, pelajar terbabit turut membuat dakwaan bakal dibuang daripada universiti berkenaan sekiranya gagal menjelaskan bayaran yuran.

“Disebabkan kasihan dengannya, saya memuat naik status di akaun Facebook untuk meminta bantuan rakan-rakan supaya membantu pelajar ini kerana bimbang dia tidak dapat belajar dengan memberi nombor akaun bank miliknya.

“Pelajar itu kemudian memberitahu dia memperoleh sebanyak RM1,176 selepas beberapa jam kemudian dan saya cuba menghubungi pihak NGO dari Pulau Pinang untuk meminta mereka membantu. Namun jawapan yang diterima agak mengejutkan.

“Wakil NGO terbabit memberitahu mereka pernah membantu pelajar ini sehingga mendapat kutipan mencecah lebih RM30,000 tetapi pelajar itu sebenarnya tidak membayar yuran namun terbabit dalam perjudian dalam talian,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Selepas mengetahui perkara sebenar, Zuraini kemudian menghubungi semula pelajar terbabit namun pemuda itu bertindak menafikan dakwaan tersebut malah mengugut untuk melakukan sesuatu di luar batasan.

Zuraini lalu memutuskan untuk meminta pelajar terbabit memulangkan semula wang kutipan disalurkan melalui akaun miliknya agar dapat dipulangkan semula kepada penderma yang juga dalam kalangan ahli CSM.

“Pelajar itu dan bapanya turut menghubungi saya lebih daripada 30 kali supaya memadam status yang dimuat naik di laman Facebook saya selain meminta maaf.

“Saya juga sudah menghubungi pihak universiti berkenaan dan mereka mengesahkan pelajar itu masih belajar di situ dan turut mengetahui perbuatan pelajar itu yang suka mencari dana dengan menipu,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang wakil NGO dari Pulau Pinang iaitu Eng Hiap Boon memaklumkan bahawa sudah tujuh NGO di negeri tersebut menjadi mangsa penipuan pelajar terbabit sejak April tahun ini.

Namun kesemua NGO berkenaan tidak membuat laporan polis hanya kerana bimbang berikutan pelajar yang turut menipu beberapa orang kenamaan itu mengugut untuk membunuh diri.

Ekoran merasa khuatir pelajar yang dikatakan sudah mula menipu sejak dua tahun lalu itu meneruskan kegiatannya, Zuraini bernekad membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu agar NGO lain tidak terpedaya dengan tipu helah pelajar terbabit.

Dedah Zuraini, pelajar itu sering menggunakan modus operandi yang sama untuk menagih simpati dengan memberitahu bapanya orang kurang upaya (OKU) manakala ibunya hanya bekerja di pasar Jalan Teluk Wanjah.

Baca juga: “Rasa seperti teguran halus” – Lelaki sebak lihat peniaga merangkak antara ruangan solat dan tempat wuduk