Malaysia Dateline

Pelajar universiti paling ramai diperalat sindiket penipuan

Polis Selangor hari ini mendedahkan golongan pelajar universiti adalah antara paling ramai menjadi alat sindiket penipuan komersil di negeri itu apabila membenarkan nama mereka digunakan untuk membuka akaun bank bagi tujuan penipuan seperti ‘Macau Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Selangor ACP Harjinder Kaur Gurdial Singh berkata golongan terbabit mudah menjadi mangsa kerana ada antara mereka yang memerlukan wang segera.

“Mereka yang bersetuju akan diberikan RM2,500 setelah membuka akaun bank dan menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) kepada ejen sindiket.

“Ini adalah satu kesalahan besar apabila membenarkan pihak lain menggunakan akaun sendiri dan boleh didakwa kerana bersubahat,” katanya kepada pemberita selepas program kepolisan masyarakat JSJK Selangor, di sini.

Katanya ada antara mereka yang membuka sehingga enam akaun bank berlainan.

“Hasil siasatan mendapati setiap akaun itu digunakan sehingga 20 kali transaksi bagi pemindahan wang daripada mangsa sindiket penipuan termasuk Macau Scam.

“Alasan yang sering digunakan oleh pemilik asal akaun ialah kad ATM mereka hilang namun tidak boleh diterima kerana tiada laporan dan telah berlaku transaksi dalam akaun didaftarkan atas nama mereka,” katanya.

Menurutnya selain pelajar universiti, sindiket turut menyasarkan golongan pesara, penganggur dan penagih dadah.

— BERNAMA