Malaysia Dateline

Pelajaran dari perang kemerdekaan Bangladesh

Minggu lalu iaitu pada 26 Mac adalah ulang tahun ke-50 kemerdekaan Bangladesh. Merdeka dari siapa? Bukan dari British tetapi dari Pakistan. Bukanlah Pakistan menjajah Bangladesh. Negara yang menjajah Bangladesh adalah Britain seperti mana India dan Pakistan. Bangladesh merdeka dari Britain sebagai Pakistan Timur. Ia merupakan salah satu wilayah Pakistan.

Pada tahun 1971, saya berada di darjah enam. Atlas sekolah menunjukkan Pakistan mempunyai wilayah di hujung kiri dan kanan India. Di sebelah kiri ialah Pakistan Barat dan di sebelah kanan ialah Pakistan Timur. Dalam akhbar, setiap hari disiarkan berita mengenai pergolakan di Pakistan Timur. Wajah pemimpin Bangladesh, Sheikh Mujibur Rahman turut menjadi gambar kulit majalah. Begitu juga turut dipaparkan gambar tentera membunuh dan menawan pejuang kemerdekaan. Bendera baharu Bangladesh berupa bulatan merah di tengah latar hijau turut ditunjukkan.

Ada sebuah berita menceritakan bagaimana perjuangan kemerdekaan Bangladesh antara lain berkisar juga pada jati diri bahasa. Terdapat tuntutan supaya bahasa Bangla menjadi salah satu bahasa kebangsaan Pakistan. Tetapi tuntutan itu ditolak oleh kerajaan pusat Pakistan di Islamabad. Mereka yang sudah menjadikan Urdu sebagai bahasa kebangsaan mahu supaya orang Bangla di Pakistan Timur turut menggunakan bahasa Urdu.

Ia adalah suatu bahasa hebat yang merupakan bahasa kerajaan Moghul. Urdu lahir dari gabungan bahasa Parsi dan Sanskrit dengan menggunakan tulisan Arab gaya Parsi, seperti mana di Iran dan Afghanistan. Orang Islam di bahagian utara dan barat India, baik semasa pemerintahan Moghul mahupun British menggunakan bahasa Urdu. Kesusasteraan bahasa Urdu adalah tinggi dengan puisi Mohamad Iqbal menjadi inspirasi kepada perjuangan menubuhkan Pakistan sebagai negara orang Islam. Negara itu juga dilihat sebagai pewaris kepada kerajaan Moghul yang tentu saja menggunakan bahasa Urdu.

Tetapi Bangla juga bahasa hebat dengan kesusasteraannya bersejarah dari zaman silam. Rabindranath Tagore adalah pujangga yang memenangi Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan. Bangla mempunyai tulisan sendiri yang juga dinamakan huruf Nagari Timur. Pernah satu masa di Kolkota, ada sebuah akhbar harian yang kandungannya hanya berisi puisi. Bilangan penutur bahasa itu juga amat banyaki kerana ia meliputi bukan saja Pakistan Timur tetapi juga Benggala Barat atau West Bengal, iaitu wilayah dalam India. Semasa British memerintah India, mereka mewujudkan wilayah Benggala atau Bengal, yang kemudiannya di bahagi dua iaitu Benggala Barat dan Benggala Timur. Ibu kota kerajaan India British terletak di Calcutta. Kini dikenali sebagai Kolkota dan merupakan ibu kota wilayah Benggala Barat.

Majoriti penduduk Benggala Barat beragama Hindu sementara majoriti penghuni Benggala Timur beragama Islam. Apabila India mencapai kemerdekaan, Benggala Timur menjadi Pakistan Timur sementara Benggala Barat merupakan salah sebuah wilayah India.

Pihak British memanggil bangsa dan negerinya sebagai Bengal. Malah laut di antara India dan Myanmar dipanggil Bay of Bengal dan dalam atlas dunia yang digunakan di Tanah Melayu, ia diterjemahkan sebagai Teluk Benggala. Bengal juga diterjemahkan menjadi Benggala. British memanggil bahasa dan orangnya sebagai Bengali dengan sebutannya menjadi Benggali.

Di sini timbul kekeliruan pada orang Melayu. Walaupun Benggali sebenarnya merujuk pada orang dan bahasa Benggala tetapi orang Melayu merujuk Benggali kepada orang Sikh. Sedangkan orang Sikh dari Punjab dan mereka lebih tepat dipanggil Punjabi dan bukannya Benggali. Tetapi tidak semua orang Punjabi beragama Sikh. Majoriti yang beragama Sikh adalah mereka yang berasal dari Punjab Timur yang kini terletak di India. Sementara majoriti orang Punjab Barat beragama Islam dan wilayah mereka berada di Pakistan. Kini orang Melayu tidak menggunakan istilah Benggala dan Benggali. Mereka menggunakan istilah Bangla untuk merujuk pada orang Bangladesh dan bahasanya.

Sebelum kedatangan British dan orang Moghul. Benggala mempunyai kesultanannya sendiri. Empayar Benggala ini meliputi satu kawasan yang luas, bukan saja meliputi wilayah Benggala Barat dan Bangladesh tetapi juga Tripura di india dan Arakan di Myanmar, yang mana merupakan kampung halaman orang Rohingya. Bahasa Kesultanan Benggala adalah Parsi.

Selepas Bangladesh mencapai kemerdekaan, sebuah tugu memperingati perjuangan bahasa Bangla dibina di Dacca, kini dikenali sebagai Dakha. Ini menunjukkan betapa kuatnya semangat Bahasa Jiwa Bangsa orang Bangla.

Tetapi faktor utama yang mendorong pada semangat nasionalisme dan perjuangan kemerdekaan Bangladesh ialah sikap kerajaan pusat di Islamabad yang tidak menghormati demokrasi. Dalam pilihan raya umum tahun 1970, parti Awami League yang boleh diterjemahkan sebagai Liga Rakyat pimpinan Sheikh Mujibur Rahman menang majoriti di Pakistan Timur. Presiden Pakistan ketika itu, Yahya Khan enggan menerima kemenangan parti itu kerana tidak mahu mereka berada dalam kerajaan pusat di Islamabad. Terdapat pihak di Islamabad yang mahukan Pakistan Barat menjadi dominan ke atas Pakistan Timur.

Maka keadaan itu membawa kepada rusuhan awam dan akhirnya berlaku Perang Kemerdekaan Bangladesh. Pertempuran berlaku antara pejuang kemerdekaan Bangladesh dengan tentera Pakistan. Terdapat banyak korban perang. India memberi bantuan pada pejuang Bangladesh untuk memecahkan Pakistan. Kekejaman perang khususnya yang dilakukan oleh tentera Pakistan menguatkan azam rakyat Bangladesh untuk merdeka.

India yang bermusuh dengan Pakistan membantu pejuang kemerdekaan Bangladesh. Kedua-dua tentera India dan Pakistan adalah asalnya sebahagian daripada tentera British di India. Apabila British meninggalkan India, maka muncul negara India dan Pakistan yang turut mewarisi tentera di kedua negara.

Peperangan antara India dan Pakistan, serta kemudiannya antara Pakistan dan pejuang Bangladesh dengan bantuan India adalah tragedi bagi rakyat ketigaitiga negara itu.

Perjuangan kemerdekaan dan nasionalisme yang dibawa oleh Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru mempunyai satu wawasan India Raya yang dapat menyatukan rakyatnya tanpa mengira suku kaum dan agama. Tetapi banyak pihak dari kalangan Hindu dan Islam di negara itu tidak dapat mempercayai satu sama lain. Maka Liga Muslim pimpinan Muhammad Ali Jinnah memperjuangkan sebuah negara untuk orang Islam India.

Republik Islam Pakistan ditubuhkan dengan harapan tinggi bukan saja untuk rakyatnya tetapi juga dunia Islam. Tetapi pemisahan Pakistan daripada India tidak menamatkan kekerasan. Penghijrahan orang Islam dari India ke Pakistan serta orang Hindu dan Sikh dari Pakistan ditandai dengan pembunuhan dan kesengsaraan rakyat daif. Masalah Kashmir tidak dapat diselesaikan. Perang antara India dengan Pakistan berlaku banyak kali.

Liga Muslim sendiri berpecah. Di Pakistan Timur, ia menjadi Liga Rakyat. Apabila Pakistan merdeka, nama rasminya bukan Republik Islam Bangladesh tetapi Republik Rakyat Bangladesh. Dalam pilihan raya tahun 1970, Liga Muslim tidak muncul sebagai parti terbesar di Pakistan. Parti Rakyat Pakistan pimpinan Zulfikar Ali Bhutto menjadi parti utama.

Kini masalah Kashmir masih tidak dapat diselesaikan. Kedua-dua India dan Pakistan mempunyai senjata nuklear. India dipimpin oleh nasionalis Hindu. Bangladesh dipimpin oleh Sheikh Wasina Wazed, anak Sheikh Mujibur Rahman.

Pelajaran apa yang dapat diperoleh dari sejarah India, Pakistan dn Bangladesh? Banyak. Paling utama ialah sebarang sikap mengabaikan mana-mana bahagian warganegara, sama ada majoriti atau minoriti akan berakhir dengan perpecahan. Semua negara mempunyai minoriti masing-masing walaupun ia berpecah banyak kali. Demokrasi perlu dihormati. Jika tidak, wibawa kerajaan pusat atau persekutuan akan musnah dan demokrasi sukar untuk dipulihkan.