Malaysia Dateline

Pelakon Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat sakit jantung

Artis Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), di Kuningan, Jakarta, awal pagi tadi.

Menurut agensi berita Antara yang memetik Dodi, iaitu pengurus kepada Bunga Citra Lestari (isteri kepada Ashraf), Ashraf, 40, meninggal dunia pada 4.51 pagi tadi.

Ashraf atau nama sebenarnya Ashraf Daniel Mohamed Sinclair yang lahir di  London, England adalah artis popular Malaysia, yang mengahwini Bunga Citra Lestari pada 2008, dan dikurniakan seorang anak, Noah Sinclair.

Menurut Dodi, setakat ini belum diputuskan tempat dan waktu pengebumian artis yang pernah membintangi filem “Gol & Gincu” itu.

Ashraf Sinclair kemudian meneruskan kariernya di Indonesia dan popular menerusi filem komedi romantis, Saus Kacang, pada 2008 dan beberapa siri sinetron (drama bersiri).

— BERNAMA