Kes tumbuk muka: Hafiz bakal didakwa, netizen mula pertikai perangai isteri

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon yang didakwa mencederakan isterinya, Hafiz Roshdi bakal dihadapkan ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan pada Isnin ini.

Hafiz dipercayai menumbuk isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri sebanyak tiga kali sehingga meninggalkan kecacatan kekal di pipi kiri wanita itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, aktor berusia 29 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Baharu.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” kata Omar yang enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu.

Baru-baru ini, Hafiz ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Bagaimanapun, pelakon itu dibebaskan dengan jaminan pihak polis pada hari yang sama sejurus selepas diambil keterangan.

Sejak kisah pergolakan rumah tangganya dihidu media, Hafiz hanya berdiam diri tanpa menghiraukan sebarang spekulasi mengenai insiden itu.

Shuhada bagaimanapun membuat pelbagai pendedahan mengenai masalah yang dihadapinya sepanjang bergelar isteri.

Orang ramai yang mulanya membela Shuhada mula beralih arah kerana menganggap wanita itu berlebihan sehingga membuka aib suaminya.

Terdahulu, Hafidz dilaporkan telah melafazkan cerai terhadap isterinya melalui panggilan telefon setelah berlaku curang dengan bekas kekasihnya.

Baca juga: ‘Kau tak pernah beli beras’, isteri Hafidz Rosdi mengalami cacat kekal di muka