Malaysia Dateline

Pelaksanaan 3 kadar bayaran zakat fitrah, masyarakat punya pandangan tersendiri

Pelaksanaan tiga kadar pembayaran zakat fitrah (mengikut harga beras) di beberapa negeri bagi tahun ini, adalah bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Aidilfitri.

Dengan pelaksanaan tiga kadar itu, hari ini Malaysia Dateline melakukan tinjauan di kaunter zakat Jalan Raja, bagi mendapatkan pandangan orang ramai tentang kadar berkenaan.

Mohamad Ifwat Rokeman

Mohamad Ifwat Rokeman, 29, ketika ditemui berkata, dirinya memilih untuk membayar zakat mengikut kadar umum yang dinyatakan Lembaga Zakat iaitu RM7 seorang.

“Kadang-kadang sepanjang mencari rezeki, kita tak tahu apa yang kurang dan terlepas pandang untuk dibayar.

“Jadi, saya akan mengutamakan membayar RM7 seperti yang dinyatakan pihak zakat. Kalau ada rezeki lebih, saya akan bayar lebih dan anggap itu sedekah daripada saya sekeluarga,” katanya.

Bagi Maharani Muhamad, 52, turut memilih membayar zakat dengan kadar umum iaitu RM7 setiap seorang.

“Saya memang akan bayar zakat mengikut kadar yang dinyatakan pihak zakat, tetapi pada masa sama, saya tetap bersedekah dan menghulurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Fandi Salleh

Berbeza pula bagi Fandi Salleh, 31, yang memilih untuk membayar zakat fitrah mengikut harga beras dimakan bagi diri dan tanggungannya.

“Kalau kata beras itu berharga RM25, apa salahnya kita bayar. Lagi pun zakat fitrah ini hanya dibayar sekali setahun.

“Memang tiada masalah pada saya kalau bayar zakat fitrah mengikut harga beras. Ini semua kerana niat kita, iaitu hendak bersedekah membantu golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kadar Zakat Fitrah ditetapkan mengikut negeri berdasarkan kepada harga semasa bagi beras Super Tempatan Gred A seberat satu gantang Baghdad, iaitu bersamaan 2.60kg.

Untuk rekod, kebiasannya kadar zakat fitrah di Malaysia adalah sekitar RM6.50 dan RM7 seorang.

Namun begitu, bagi golongan yang berkemampuan, kini mereka boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri dan tanggungan, seperti yang diumumkan di negeri Selangor, Kedah, Perak dan beberapa negeri lagi pada tahun ini iaitu 1440H / 2019.