Malaysia Dateline

Pelaksanaan 5G dibimbangi ada unsur korupsi dan karenah birokrasi

Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa campur tangan secara langsung dalam pelaksanaan teknologi 5G Malaysia yang melibatkan pelaburan bernilai RM15 bilion amat mencurigakan.

Malah sebuah entiti khusus (SPV) yang akan dibentuk di bawah Kementerian Kewangan untuk memiliki, membina dan menguruskan infrastruktur 5G negara sudah pasti melalui konsep sedemikian, PN mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan pembahagian kontrak-kontrak utama berkaitan 5G dan seterusnya boleh menimbulkan unsur korupsi dan birokrasi.

Menurut Faiz Fadzil, yang juga merupakan Adun Permatang Pasir, keadaan ini membimbangkan ekoran reputasi PN yang dibina atas konsep ‘scheme of things: dan dilihat mengkayakan ahli parti serta ahli keluarga mereka walaupun baru setahun berkuasa.

“Adalah tidak menghairankan apabila pakar-pakar sudah mula mengkritik konsep ini sepertimana laporan Fitch Solutions yang turut mendakwa konsep SPV ini akan menyebabkan pelaksanaan 5G Malaysia tidak efisien dan akan mengalami kos yang lebih tinggi daripada sepatutnya.

“SPV 5G mengurangkan peranan syarikat swasta dan memusatkan kuasa membuat keputusan di tangan dalam situasi monopoli seperti monopoli Telekom Malaysia dalam rangkaian fiber negara ketika ini yang dilihat tidak menguntungkan rakyat Malaysia.

“Sebetulnya teknologi 5G adalah sangat penting bagi negara menarik pelaburan langsung asing yang berkualiti tinggi dan sekiranya pelaksanaan 5G gagal akibat konsep SPV ini, maka Malaysia akan jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau dalam aspek ‘digital connectivity’, ” ujar beliau yang merupakan seorang peguam itu.

Tegas Faiz, kerajaan PN seharusnya menurut jejak langkah kerajaan PH sebelum ini yang telah bercadang untuk membentuk sebuah konsortium yang terdiri daripada syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan dimana konsep tersebut mampu mengurangkan kos, mempercepatkan pelaksanaan 5G serta paling utama ialah telus dalam aspek pemberian kontrak berkonsepkan tender terbuka.

Ia juga berkata, masih belum terlambat bagi kerajaan PN untuk membetulkan keputusan melaksanakan 5G menerusi SPV dan sektor swasta sepatutnya menerajui pembinaan dan pengurusan infrastruktur 5G dengan dibantu kerajaan untuk mengurangkan kos.

Beliau juga menyarankan supaya segala kontrak yang diberikan atas nama projek 5G haruslah telus dan diberikan atas dasar tender terbuka serta harus cepat sampai ke kawasan luar bandar.

Ini kerana semua pihak tidak mahu kesenjangan digital atau ‘digital inequality’ di Malaysia terus merosot dibawah kerajaan PN yang memberi kesan bukan saja kepada sosio ekonomi tetapi juga kualiti pendidikan orang Melayu dan penduduk luar bandar.