Malaysia Dateline

Pelaksanaan B20 bantu pulihkan kualiti udara

Pelaksanaan program biodiesel B20 mampu menambah baik kualiti udara terutamanya di kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas seperti di Lembah Klang yang mempunyai kira-kira 7.2 juta penduduk, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim.

Beliau berkata pelaksanaan program B20 yang mempunyai 20 peratus biodiesel dan 80 peratus diesel petroleum serta program B7 yang diteruskan dalam sektor industri, akan menggunakan kira-kira 1.3 juta tan minyak sawit setahun dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 3.8 juta tan setara CO2 setahun.

“Kajian saintifik telah membuktikan bahawa penggunaan biodiesel mampu mengurangkan pelepasan GHG. Biodiesel juga mengandungi nombor setana yang lebih tinggi. Ini dapat meningkatkan prestasi enjin dan menyumbang kepada pelepasan gas ekzos yang lebih bersih,” katanya kepada Bernama.

Kok berkata penggunaan biodiesel yang hampir mencecah sifar kandungan sulfur, mampu mengurangkan pelepasan gas sulfur dioksida ke atmosfera yang mengakibatkan kejadian hujan asid.

Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama syarikat-syarikat petroleum seperti Petronas, Shell, Petron, Chevron dan BHP akan membekalkan biodiesel B20 secara berperingkat kepada lebih 3,400 stesen minyak di seluruh negara.

Malaysia melaksanakan program B5 dalam sektor pengangkutan pada Jun 2011, manakala program B7 pada Disember 2014.

Pelaksanaan B10 secara mandatori dalam sektor pengangkutan pula dimulakan pada 1 Feb, 2019 dan B7 dalam sektor industri bermula pada 1 Julai, 2019.

Beliau berkata syarikat-syarikat petroleum sedang giat menaik taraf depoh untuk membolehkan mereka menyimpan sehingga biodiesel B30.

“Siapa tahu mungkin satu hari nanti kita boleh menaik taraf kepada B30, jadi kita mesti melakukannya sekarang. Memandangkan kita melaksanakannya secara berperingkat, kita akan mulakan dengan negeri yang tidak memerlukan banyak perubahan seperti Langkawi, diikuti Labuan, Sarawak, Sabah dan seterusnya di Semenanjung,” katanya.

Kok ketika ditanya mengenai cabaran pelaksanaan itu, menjelaskan kerajaan tidak menerima banyak aduan, namun, menerima banyak pertanyaan daripada peniaga industri automotif mengenai jenis biodiesel yang perlu digunakan untuk kenderaan.

“Saya tidak melihat banyak masalah yang timbul daripada program B20 berikutan tahap penerimaan yang agak tinggi. Mari kita bersama-sama membantu mengurangkan karbon di atmosfera,” katanya.

Beliau berkata diesel B7/B10 dan B20 boleh digunakan secara bertukar ganti kepada semua kenderaan diesel tanpa sebarang masalah.

Satu kajian awalan dan reka bentuk kejuruteraan bagi kerja naik taraf depoh pengadun juga dilaporkan telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM35 juta.

Kementerian Industri Utama dan agensinya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan melancarkan Program Biodiesel B20, yang dijadual dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, esok.

Sementara itu, Kok berharap program B20 dapat menyokong harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun ini, sekali gus memanfaatkan pekebun kecil yang memiliki 40 peratus daripada ladang kelapa sawit di negara ini.

“Ketika ini harga MSM diniagakan di antara RM2,700 dan RM2,800 satu tan. Menerusi program B20 dan B30, ia boleh menjadi mekanisme kami untuk menstabilkan harga pada paras semasa,” katanya.

Pada Disember 2016, Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA) menyatakan sokongan terhadap penggunaan 20 peratus biodiesel sawit dalam diesel.

Hasil ujian lapangan MPOB dan kajian menyeluruh JAMA juga menunjukkan B20 sesuai digunakan pada enjin diesel.

Pelaksanaan Program B20 ini juga adalah selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang hanya membenarkan kenderaan yang bersedia dengan B20 dan B30.

Antara negara lain yang membenarkan penggunaan biodiesel dalam diesel adalah Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Indonesia, Thailand, Colombia, Argentina, Brazil dan Indonesia.

— BERNAMA