Pelaksanaan MA63 tidak harus dilewat-lewatkan

Pelaksanaan MA63 tidak harus dilewat-lewatkan

Jingga 13 Sarawak mengalu-alukan kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri pada 19 Ogos baru-baru ini mengenai isu-su yang ditangani oleh Jawatankuasa Kabinet mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semasa mesyuarat keempatnya yang diadakan pada 23 Julai 2019.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh Koordinator Jingga 13 Sarawak, Nickson Abdullah.

Menurut beliau lagi, sejak usaha terbuka Almarhum Datuk Adenan Satem untuk devolusi kuasa yang telah disokong secara terbuka oleh pemerintah peringkat pusat dan kemudiannya menjadi janji pilihan raya yang kuat serta jelas oleh Pakatan Harapan (PH) yang kini menjadi pemerintah, maka usaha untuk mengembalikan hak Sarawak di bawah MA63, rakyat Sarawak tidak boleh dipersalahkan sekiranya mereka merasa telah dipermainkan.

“Jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan terdahulu kini digantikan dengan yang lain.

“Malah kajian dan penyelidikan telah dilaksanakan sehingga ke London telah membuktikan secara jelas bahawa kedua-dua kerajaan mempunyai hasrat, sekurang-kurangnya bagi menyelesaikan isu-isu tersebut demi Malaysia, melainkan adanya agenda tersembunyi yang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Seharusnya tidak lagi wujud kelewatan dalam apa jua perkara membabitkan pelaksanaan MA63, yang mana pengembalian hak inilah menjadi platform yang mendatangkan kejayaan besar PH semasa PRU ke 14 di Sarawak,” ujarnya.

Jelasnya lagi, adalah malang apabila dilihat satu lagi langkah terbaru yang mengasingkan perkara yang paling menonjol dan berkesan iaitu melibatkan isu minyak dan gas, dari skop Jawatankuasa Kabinet ke tangan dua individu sahaja, walaupun mereka adalah ketua-ketua kerajaan.

Tegas Nickson lagi, tindakan ini merupakan langkah yang rtidak wajar dan bertentangan dengan sejarah.

“Harus diperingatkan bahawa MA63 telah pun berhasil dari suara dan pandangan rakyat serta bukannya satu dokumen yang dibuat seorang pemimpin dengan bantuan pemimpin yang lain sahaja.

“Kita sewajarnya mengambil teladan bahawa Sarawak telah kehilangan hak hakiki minyak dan gasnya melalui PDA74 tanpa merujuk kepada rakyat.

“Sehubungan itu Jingga 13 Sarawak berharap dalam apa jua tindakan yang diambil, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak sepatutnya peka bahawa rakyat tidak boleh dibohongi lagi,” katanya.

Maka itu tambahnya, setiap langkah perlu diambil supaya segala usaha bagi memulihkan hak Sarawak di bawah MA63 dibuat dengan cara yang paling telus ke arah penyelesaian yang lebih pantas demi Malaysia.