Malaysia Dateline

Pelaksanaan sistem menyentuh umat Islam wajar diperjelas terlebih dahulu – PUM

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata pelaksanaan sebarang sistem yang menyentuh umat Islam secara langsung wajar diperjelaskan kepada mereka terlebih dahulu.

Ini bagi mengelak persoalan seperti yang berlaku dengan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) bagi permohonan visa umrah yang mana pelaksanaannya dibatalkan semalam.

Dalam kenyataan mengenai perkara itu, Yang Dipertua PUM Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata persatuan itu mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menarik balik penggunaan sistem IMAMS.

“Sewajarnya pelaksanaan sistem sebegini diperjelaskan terlebih dahulu kepada rakyat terutama masyarakat Islam yang terlibat secara langsung dalam urusan umrah dan haji.

Jangan ada sistem-sistem yang diperkenalkan menambah bebanan kepada mereka. Elakkan juga pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas sistem yang dibuat,” katanya.

“Apapun, syabas di atas keputusan menarik balik penggunaan sistem IMAMS ini,” kata Syeikh Abdul Halim.

Pembatalan itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin selain Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rashidi Hasbullah.