Malaysia Dateline

Pelamin Umno-Pas bergoyang di Terengganu

Hubungan antara Umno dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) bakal bergoyang jika formula yang betul pembahagian kerusi di Terengganu tidak dapat dicapai dengan baik.

Penganalisis politik dari Ilham Centre, Dr Mohamad Yusri Ibrahim berkata, persandingan Umno-Pas, pelaminnya di Terengganu.

DR YUSRI IBRAHIM

“Kukuh pelamin itu, lancarlah acara persandingan dan walimah. Goyang pelamin itu, kecohlah majlis nanti,” kata beliau dalam satu analisisnya.

Beberapa hari lepas, Pas Terengganu mengeluarkan pengarahan supaya jentera mereka bersiap sedia hadapi PRU15 yang dijangkakan pada tahun ini.

Sembang-sembang tentang desakan supaya PRU15 diadakan segera juga berlegar kuat dalam kepimpinan tertinggi Umno semasa kempen PRK Chini tempoh hari.

Jika semua berjalan lancar dan isu-isu dalaman PN berjaya diselesaikan, hampir pasti PRU15 akan diadakan dalam masa terdekat.

Namun apakah rakannya dalam Muafakat Nasional, Umno sedia menerima cadangan Pas untuk hanya bertanding 10 sahaja kerusi negeri manakala Pas 22.

Ia berdasarkan cadangan pembahagian kerusi untuk pilihan raya kali ini iaitu mengekal status quo masing-masing berdasar pilihan raya terkahir iaitu 2018.

Cadangnya kerusi yang Umno menang dalam PRU-14 kekal ditandingi oleh Umno, yang dimenangi oleh Pas ditandingi oleh Pas, jika dua-dua kalah kerusi tersebut akan ditandingi oleh parti yang mendapat lebih banyak undi.

Namun bagi Pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, Umno Terengganu kurang gembira dengan situasi ini.

“Jika persefahaman ini dipakai, mereka hanya akan bertanding 10 kerusi berbanding 22 kerusi oleh Pas.

“Sedangkan kekuatan Umno dan Pas di Terengganu adalah seimbang, bahkan Umno memiliki lebihan sokongan beberapa peratus berbanding Pas,” kata Dr Yusri dalam analisis beliau.

Menurut pensyarah UMT itu, Umno tewas di Terengganu dalam PRU lepas bukan disebabkan kelemahan mereka, sebaliknya dipengaruhi oleh faktor nasional.

Begitu juga pada tahun 1999, Umno tewas di Terengganu juga disebabkan isu nasional, bukan kelemahan mereka di peringkat negeri.

“Jika tiada isu besar di peringkat pusat, Umno kekal mendominasi Terengganu seperti ditunjukkan dalam siri-siri PRU sebelum ini.

“Ruginya Umno Terengganu apabila penggabungan dengan Pas ini berlaku ketika mereka kalah, bukan semasa menang dalam tahun 2013, 2008, 2004 dan tahun2 PRU sebelumnya,” kata beliau.

Menurut Dr Yusri, mereka mengumpul banyak suara oleh jentera dan penyokong Umno untuk bertanding sama banyak, iaitu masing-masing 16 kerusi.

“Situasi ini juga menarik, jika cadangan ini diterima, Umno dan Pas berpotensi mempunyai ADUN sama ramai untuk membentuk kerajaan, dengan andaian PH sekali lagi akan gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU ini,” kata Yusri.

Selain itu, ada juga cadangan supaya Umno dan Pas masing-masing bertanding semua 32 kerusi, bertanding ala-ala perlawanan persahabatan.

“Parti mana yang menang paling banyak akan jadi MB dalam kerajaan gabungan nanti, barisan exco daripada kedua-dua parti,” kata Dr Yusri.

Namun, katanya, ini belum dikira maklum balas jentera Umno Hulu Terengganu yang nekad tidak akan sesekali menyerahkan kerusi parlimen itu kepada Bersatu walaupun kini Ahli Parlimennya adalah Bersatu.

Ini kerana, Datuk Rosol Wahid yang menang atas tiket BN telah berpaling tadah kepada Bersatu dan menjadi timbalan menteri.

Bagi Dr Yusri, cadangan-cadangan ini menunjukkan isu pembahagian kerusi Umno-Pas di Terengganu berisiko jadi percikan api perseteruan baru kedua-dua parti di negeri ulik mayang ini.

Itu belum dikira beberapa isu yang sedang hangat antara penyokong Umno dan Pas di peringkat bawahan berkaitan MPKK, Jawatankuasa Masjid dan agihan-agihan bantuan oleh kerajaan negeri, katanya.