Malaysia Dateline

Khalid hairan bagaimana arkitek boleh percaya rasuah boleh ubah pelan DBKL

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah mewartakan Pelan Struktor dan Tempatan Kuala Lumpur bagi mempastikan ia sukar untuk diubah dan mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dan rasuah.

Oleh itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad hairan bagaimana seorang arkitek bertauliah boleh mempercayai orang tengah boleh membantunya mengubah apa yang telah diwartakan itu dengan membayar sejumlah wang kepadanya.

Khalid mengulas siasatan polis ke atas sepasang suami isteri yang dipercayai telah menipu seorang arkitek untuk mendapatkan kelulusan dan Arahan Pembangunan (DO) DBKL sedangkan pelan struktor KL telah diwartakan.

“Kita telah wartakan pelan struktor dan tempatan DBKL pada Oktober 2018 lalu. Oleh itu segala perubahan yang hendak dibuat ke atas pelannya perlu melalui proses yang memakan masa termasuk penglibatan awam sebelum dinyah warta dan diwartakan semula perubahannya,” katanya.

Oleh itu, katanya, semua arkitek profesional sepatutnya memahami kesannya apabila beliau menggunakan sogokan dan rasuah, ia sudah sukar untuk dilakukan.

“Masa sebelum itu, ketika ia tidak digezetkan lagi bolehlah guna setiausaha politik ke, menteri ke atau datuk bandar ke untuk ubah. Selepas gezet susah dah nak gunakan kebel itu semua,” kata Khalid.

Khalid mengulas siasatan polis yang dilakukan ke atas sepasang suami isteri yang menjadi orang tengah yang didakwa menipu seorang arkitek.

Turut dikaitkan adalah setiausaha politik beliau yang didakwa telah digunakan oleh orang tengah itu untuk mendapatkan kelulusan DBKL dalam satu projek pembangunan.

Sehubungan dengan itu, Khalid memberikan peringatan kepada pemaju dan arkitek yang mahu membuat pembangunan di KL agar dibuat secara telus tanpa rasuah kerana ia sudah sukar untuk dibuat selepas pelan DBKL diwartakan.

“Kelulusan DO (arahan pembangunan) yang melibatkan plot ratio, syarat guna tanah semuanya tertakluk kepada pelan struktor dan tempatan DBKL yang dah diwartakan Oktober 2018.

“Segala perubahan pembinaan yang berbeza dengan apa yang dah digezetkan akan memerlukan proses yang memakan masa yang panjang dan melibatkan orang awam.

“Sekarang bukan zaman cash is king lagi dah,” kata Khalid menyindir bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang menganggap wang adalah segala-galanya.

Najib ketika mengulas isu yang sama menyindir bahawa setiausaha politik Khalid adalah ahli Lembaga Penasihat DBKL dan Ketua AMANAH Shah Alam yang diwakili beliau.

“Ahli Lembaga Penasihat DBKL bukan ada fungsi eksekutif manakala Ketua AMANAH Shah Alam tidak relevanpun dalam kes ini,” kata Khalid menjelaskan kedudukan setiausaha politik beliau yang dikaitkan dengan kes ini.