Malaysia Dateline

‘Pelan Kemakmuran Bersama’ dicadang jadi dasar agenda Melayu dan Bumiputera

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pelan Kemakmuran Bersama sebagai dasar teras kerajaan Pakatan Harapan akan menjadi agenda bumiputera yang berteraskan konsep kemakmuran secara saksama dapat dilaksanakan kelak.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, agenda ini akan menumpukan kepada usaha yang berterusan dan bersungguh-sungguh untuk meningkatkan pencapaian ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Kita terima hakikat bahawa pencapaian kaum Melayu dan Bumiputera masih agak terkebelakang.

“Prasyarat utama dasar ini ialah ia mesti mewujudkan kemakmuran negara yang dapat dikongsi secara adil dan saksama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, kelas dan wilayah.

“Yang ingin kita wujudkan ialah keadilan dan kesaksaman dalam pendapatan dan pemilikan kekayaan di kalangan rakyat. Tidak ada satu kumpulan pun dalam masyarakat kita yang ketinggalan.

“Dengan itu, kita dapat mewujudkan kestabilan, kesepaduan dan kemakmuran dalam negara kita yang dikecapi oleh semua rakyat. Justeru, Agenda ini bukanlah agenda kaum, tetapi satu agenda nasional,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan Presiden pada hari ketiga Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke2 di Dewan Planery, Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) di Putrajaya pagi ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Pakatan Harapan berkata, agenda itu akan dirangka dengan penglibatan semua pihak membabitkan badan ekonomi Melayu, dewan perniagaan semua kaum, pemain industri, ahli korporat, pakar ekonomi, badan profesional, badan bukan kerajaan dan parti komponen dalam Pakatan Harapan.

“Apabila agenda bumiputera baharu yang boleh kita namakan Pelan Kemakmuran Bersama dilaksanakan nanti, kita mahu ia mendapat sokongan semua pihak,” ujarnya yang turut memohon agar Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong dan menerima cadangan parti Bersatu untuk dilaksanakan oleh kerajaan.

“Boleh Tun? Semua Setuju?” soal Muhyiddin di hadapan perwakilan dan disambut “setuju”  dan tepukan dikalangan  1600 perwakilan yang hadir untuk mendengar ucapan Presiden pagi ini.

Turut hadir Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.