Pelan KL 2020: Khalid berdepan Ku Nan di Parlimen

Pelan KL 2020: Khalid berdepan Ku Nan di Parlimen
Khalid menolak hujjah Ku Nan yang tidak mahu mewartakan pelan Kuala Lumpur 2020.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad membidas hujjah mantan menteri itu, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor yang berkata beliau tidak mahu mewartakan Pelan Kuala Lumpur 2020 kerana menteri dan Datuk Bandar boleh memindanya walaupun diwartakan.

“Jika begitu hujjahnya, kita tidak perlu buat Perlembagaan kerana ia juga boleh ditukar.

“Kalau hujjah boleh tukar, perlembagaan pun boleh tukar. Hujjah ini bagi saya tidak boleh diterima kerana tidak warta bermakna proses tukar mudah dan lancar,” kata Khalid ketika menjawab soalan tambahan dari ahli Parlimen Putrajaya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Khalid, apabila pelan itu diwartakan, proses untuk merubahnya lebih sukar dan akan menjadi lebih telus serta dibincangkan dengan pihak-pihak yang terlibat.

“Bila warta, proses akan lebih sukar dan telus apabila ia mahu diubah.

Sidang media Khalid selepas bertembung dengan Ku Nan di dalam Dewan Rakyat.

“Apa jua pindaan dan pelanggaran yang hendak dibuat selepas ia diwartakan, ia perlu melalui proses telus dan dijamin penglibatan pihak berkepentingan dan hujjah.

“Tak warta bermakna, you can do as you like (awak boleh buat apa yang awak mahu),” kata Khalid menolak hujjah Adnan.

Adnan ketika memberikan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini mengucapkan tahniah kepada Khalid kerana mewartakan PTKL2020 itu.

“Saya ambil keputusan tidak warta kerana selepas warta ia juga boleh ditukar,” kata Adnan memberikan sebab kenapa ia tidak diwartakan selepas ianya siap pada 2005 dan sedia untuk diwartakan 2008 lalu.

Khalid menjawab soalan ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini kenapa beliau mewartakan PTKL2020 sedangkan ia sudah banyak pelanggaran.

Khalid ketika menjawab soalan ini berkata, ia perlu diwartakan untuk memulakan satu dasar yang telus untuk pembangunan Kuala Lumpur agar pelbagai pihak yang berkaitan membuat tindakan dengan penuh tanggungjawab dan telus.