Malaysia Dateline

Mohd Khuzzan Abu Bakar

Pelan Pembangunan Sukan 2030 Johor sedang dirangka

Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) sedang merangka Pelan Pembangunan Sukan 2030 yang menetapkan perancangan sukan dalam tempoh 10 tahun bermula 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata buat permulaan, MSNJ sudah menjalankan usaha awal dengan menganjurkan Sirkit Remaja Johor di semua daerah di negeri ini.

“Walaupun Johor bakal menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020, ia bukan penamat untuk sukan di negeri ini sebaliknya merupakan permulaan era baharu sukan.

“Empat jenis sukan telah dikenal pasti untuk dijadikan penanda aras bagi sirkit berkenaan iaitu memanah, pencak silat, berbasikal dan kanu yang sukan ini mempunyai pembangunan sedia ada di setiap daerah,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Zulkurnain Kamisan (BN-Sri Medan) yang bertanyakan sama ada kerajaan Johor mempunyai perancangan atau program meningkatkan prestasi acara sukan popular di negeri ini seperti acara pecut dan sepak takraw.

Mohd Khuzzan berkata hasil pemerhatian yang dibuat, sudah ada gerakan awal daripada daerah-daerah yang bertanding menjalankan latihan secara sistematik dan lebih terancang berikutan Sirkit Remaja Johor dijalankan tiga kali setahun.

Beliau berkata sehubungan itu, kualiti para atlet yang bertanding pada setiap sirkit turut menunjukkan peningkatan yang terbaik.

Katanya berdasarkan maklum balas positif berhubung penganjuran sirkit itu, MSNJ turut mencadangkan supaya acara sukan lain ditambah bagi dipertandingkan pada sirkit tersebut.

— BERNAMA