Malaysia Dateline

Pelan Pemulihan Ekonomi negara tidak mencerminkan nilai sebenar

Kenyataan kerajaan hari ini dengan cukup bangga mengumumkan bahawa kerajaan telah berbelanja sebanyak RM225 billion ringgit dan melebihi 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau lebih dikenali sebagai GDP.

Malah dikatakan bahawa Malaysia adalah yang tertinggi dalam rantau ini dan juga negara maju yang lain.

Bagaimanapun Pemuda AMANAH Nasional berkata, kenyataan ini tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk mengaburi mata rakyat dengan kegagalan kerajaan dalam menangani penularan Covid-19 dan krisis ekonomi yang berpanjangan.

Hakikatnya, menurut Pengarah Strategi Pemuda Amanah Nasional Ammar Atan, kebanyakan inisiatif kerajaan adalah dalam bentuk pengeluaran wang simpanan, penangguhan bayaran yang datang dari wang rakyat.

“Suntikan fiskal langsung kerajaan hanya sekitar 12 peratus atau RM28 billion daripada jumlah keseluruhan,” kata beliau.

Terdapat empat pakej rangsangan yang telah diumumkan, berikut adalah nilai diumumkan dan nilai sebenar suntikan fiscal langsung, iaitu Permai (RM 15 bil | RM 2 bil), Pemerkasa (RM 20 bil | RM 11 bil), Pemerkasa Plus (RM 40 bil | RM 5 bil), dan Pemulih (RM 150 bil | RM 10 bil).

Disebabkan inilah, katanya unjuran pertumbuhan ekonomi negara semakin rendah, unjuran pengangguran akan mencecah sehingga lima peratus.

“Menurut penganalisis ekonomi dan paling parah median pendapatan rakyat pada tahun 2020 telah jatuh ke paras RM2,062 berbanding tahun 2019 yakni RM2,442 sewaktu kerajaan PH memerintah.

Justeru, kerajaan seharusnya transparen akan nilai sebenar suntikan fiskal langsung kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi dan suntikan perlu diberikan lebih tinggi pada Program Subsidi Upah dengan penambahan peruntukan serta meluaskan lagi penerima program semasa bagi mengelakkan pengguran meningkat.