Malaysia Dateline

Pelan Pemulihan Negara gagal fokus pada isu vaksin

Ahli Parlimen Gopeng dari PKR, Dr Lee Boon Chye menegaskan bahawa faktor tunggal yang menentukan peralihan fasa dalam Pelan Pemulihan Negara hanyalah bergantung kepada vaksinasi.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata, apabila peratusan rakyat yang diberikan vaksin meningkat, jumlah kes baharu akan menurun dan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga turut berkurang.

Justeru katanya, pelan pemulihan yang diumum Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) berupaya mengawal pandemik Covid-19.

“Malah, pelan tersebut menunjukkan kekeliruan dan gagal memberi tumpuan kepada isu kritikal, iaitu vaksin.

“Strategi pemulihan utama seharusnya fokus kepada vaksin dengan mempertingkatkan vaksinasi melebihi 300,000 hingga 500,000 dos setiap hari dalam masa terdekat,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Lee mengingatkan, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat berkesan, ianya membawa impak besar terhadap ekonomi dan menyebabkan kerugian RM1 bilion setiap hari.

Oleh itu katanya, sasaran dos vaksin sehari boleh dicapai melalui usaha mendapatkan vaksin yang mencukupi menjelang akhir Julai 2021, selain melibatkan doktor swasta dan klinik kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

Selain itu, proses pendaftaran perlu dimudahkan untuk rakyat yang layak dan memberi vaksin secara walk-in.

“Akhir sekali, pastikan kesemua rakyat yang telah daftar untuk vaksin iaitu sejumlah 13.8 juta orang (42 peratus daripada rakyat Malaysia) menerimanya menjelang akhir bulan Julai 2021.

“Ini akan membolehkan PKP dilonggarkan pada Ogos 2021,” kata Lee lagi.