Malaysia Dateline

Pelan Pemulihan Negara: Satu lagi strategi lemah Mahiaddin perangi Covid-19

Hampir semua strategi yang diterapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) setakat ini bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini telah menemui kegagalan.

Sebagai contoh, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin pada 11 Januari lalu dengan alasan untuk membendung penularan wabak berkenaan sehingga kini tidak berjaya untuk melandaikan lengkuk jangkitan.

Strategi itu juga terbukti gagal apabila rakyat dipaksa untuk berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk kali ketiga atau istilahnya “total lockdown”.

PKP 3.0 yang dikatakan penuh tetapi tidak penuh ini dengan menyaksikan kluster tempat kerja terus bertambah memberi kesan kepada mata pencarian golongan B40 dan sebahagian M40, sekaligus memberi impak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Malah, data menunjukkan sebanyak 6,440 kes baharu dicatatkan dan 74 kematian akibat Covid-19 direkodkan pada 18 Jun lalu — kira-kira tiga kali ganda berbanding dengan 2,232 kes pada 11 Januari semasa darurat diisytiharkan, dan 19 kali ganda lebih banyak kes kematian berbanding dengan empat kes kematian yang direkodkan pada hari pertama darurat diisytiharkan.

Justeru, timbul persoalan, adakah Proklamasi Darurat ini benar-benar untuk mengelakkan sistem kesihatan kita daripada lumpuh atau sekadar untuk menyelamatkan tembolok Mahiaddin yang tidak dapat mengesahkan majoritinya di Parlimen?

Sehingga hari ini Parlimen — yang seharusnya menjadi medan untuk kerajaan menerapkan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” — masih digantung fungsinya, meskipun Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah pada 16 Jun lalu telah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Kini, kerajaan Mahiaddin memperkenalkan pula Pelan Pemulihan Negara sebagai strategi atau panduan kasar untuk negara keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 yang melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Namun, belum pun seminggu pelan itu bermula, pelbagai pihak sudah meramalkan kegagalan strategi berkenaan.

“Pelan” yang bukan pelan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan pada 16 Jun lalu menyifatkan pelan yang dibentangkan Mahiaddin hanyalah satu ‘pelan’ tanpa apa-apa pelan yang sebenar.

Menurut PH, Pelan Pemulihan Negara itu hanya siri fasa tanpa strategi yang lengkap malah dilihat tidak mempunyai langkah-langkah yang jelas, bersepadu dan menyeluruh untuk mengatasi pandemik Covid-19.

“Ia bagaikan satu ‘pelan mengaku kalah’ pada pandemik Covid-19.

“Malah, lebih mengejutkan ialah siri fasa ‘pelan’ tersebut kononnya berasaskan sains dan data, namun realitinya data yang dimaksudkan tidak telus, tidak terbuka dan tidak terperinci untuk diteliti orang ramai, dan mudah termanipulasi seperti yang pernah kita saksikan sebelum ini,” katanya.

Bagi Pengerusi Lembaga Penasihat Gabungan Persatuan Perubatan Islam Sedunia, Dr Musa Mohd Nordin, pelan Mahiaddin itu hanya melengahkan masa sebelum gelombang jangkitan baharu melanda, berbanding benar-benar memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

Beliau menyifatkan pelan itu “bersifat rambang” dan tidak berasaskan “sains yang baik”.

“(Ia) Tak akan meredakan pandemik, hanya melengahkan masa sebelum tercetus satu lagi gelombang Covid-19 apabila PKP dilonggarkan kelak,” katanya dalam satu rajutan Twitter pada 16 Jun lalu.

Malah, ada juga pengkritik yang menyifatkan pelan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sebagai terlewat hampir setahun untuk membuat perancangan pemulihan lebih awak jika dibandingkan negara-negara.

Menurut Koordinator Penyelidik Research for Social Advancement (REFSA), Fakhrurrazi Rashid pelan berkenaan dibentangkan ketika kerajaan PN hampir ditewaskan oleh pandemik itu sendiri.

“Maka, ada keperluan untuk meneliti semula Pelan Pemulihan Negara yang telah diumumkan kerajaan tempoh hari dan mencari jalan penyelesaian yang komprehensif untuk memastikan usaha memulihkan situasi ekonomi dan kesihatan negara benar-benar memberi impak positif kepada rakyat,” ujarnya.

#kerajaangagal

Pelan Pemulihan Negara, seperti mana pendekatan yang pernah diterapkan Mahiaddin sebelum ini, adalah suatu strategi yang lemah. Pengerusi PN itu sebagai “jeneral” dalam perang melawan pandemik Covid-19 sebenar telah tewas di medan perang.

Kekalahan itu harus segera diakui oleh kerajaan Mahiaddin agar kita boleh sama-sama mencari penyelesaian dan menyusun semula strategi baharu dengan usaha semua pihak menerusi penerapan dan strategi “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”.

Parlimen harus dikembalikan fungsinya bagi mengembalikan kepercayaan rakyat. Selain itu, pemimpin pembangkang perlu diundang untuk menyertai Majlis Keselamatan Negara bagi membentuk satu kesatuan menentang Covid-19.

Mahiaddin tidak boleh mengulangi lagi strategi lapuk yang terbukti gagal untuk membendung penularan wabak ini.

Malah, dia juga harus bertegas dengan pelaksanaan SOP PKP dan tidak melakukan pusingan-U SOP ‘buka, tutup dan kemudian buka’ dalam masa kurang dari 24 jam seperti yang berlaku di pusat tadika dan pusat jagaan harian, yang mana telah menimbulkan kekeliruan dan defisit kepercayaan di kalangan rakyat.

Kerajaan Mahiaddin juga harus menamatkan amalan dua darjat dalam penguatkuasaan di mana orang kenamaan (VIP) dan menteri terlepas tanpa hukuman atau dikenakan hukuman ringan berbanding dengan hukuman bagi rakyat biasa.

Seperti yang dikatakan sendiri oleh Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin, jika kerajaan gagal sekali lagi, rakyat sendiri angkat bangkit menghukum kerajaan.

Jika itu terjadi, sudah tiba masanya untuk Mahiaddin mengundurkan diri dan menyerahkan tampuk pentadbiran negara kepada yang layak dan benar-benar ingin berjuang demi semua rakyat Malaysia dan membawa mereka keluar daripada kemelut kesihatan ini.

Mahiaddin sebagai “jeneral” dalam perang melawan pandemik Covid-19 telah tewas di medan perang.