Malaysia Dateline

Pelan selamatkan jawatan bukan pemulihan negara

Orang ramai dilihat bertalu-talu mengecam Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi laman rasmi Facebook Perdana Menteri itu susulan pembentangan Pelan Pemulihan Negara yang dicanang kononnya sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Rata-rata warganet menyifatkan pelan dengan strategi merangkumi empat fasa itu tidak lebih hanya pelan bagi menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain ‘habuk pun tiada’.

Bahkan, ramai mempertikaikan langkah sekatan pergerakan penuh sehingga 28 Jun ini yang telah menjejaskan kehidupan rakyat tetapi banyak kilang masih beroperasi.

“Sambung PKP untuk selamatkan jawatan atau rakyat? Bagi pelan yang konkrit, bukan pelan untuk selamatkan jawatan,” bentak Rahim Razali.

Sementara itu, pengguna Facebook Nor Azian Husain Azian pula menasihatkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu untuk berpijak di bumi nyata.

“Jangan sentiasa bermain mimpi dan duduk di alam fantasi buatan sendiri. Tiada apa yang istimewa dalam perutusan ini kepada rakyat marhaen.

“Apa yang kami mahu dengar adalah apa usaha kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok? Apa jaminan kerajaan setiap mulut boleh makan untuk melangsungkan kehidupan?” tempelaknya.

Keputusan kerajaan yang akan menimbang peralihan daripada fasa pertama kepada fasa kedua selepas purata kes harian Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes juga dipersoal.

“Total lockdown apa ni? Kes jangkitan bertambah dan terus bertambah. Rakyat juga terus dalam kesusahan. Kerajaan total fail!” tegas Khairul Azmi.

Langkah kerajaan untuk membuka aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis menerusi fasa kedua juga mencetuskan kebimbangan kes jangkitan akan naik mendadak.

“Habislah. Situasi semasa kerajaan Covid-19 semakin kronik. Tambah pula dengan perutusan ni kononnya melegakan hati rakyat,” ujar Abdullah Marc.

Kenyataan Muhyiddin semalam yang turut menyebut fasa keempat akan dilaksanakan jika negara berjaya mencapai nilai purata kes harian menurun di bawah 500 kes juga dilihat bukti kegagalan matlamat pelaksanaan darurat.

“Antara tujuan darurat dikuatkuasakan pada 12 Januari lalu adalah untuk membanteras Covid-19 dan menjadikan keluk kes harian kepada dua angka.

“Selepas enam bulan dilaksanakan dan PKP 2.0 bertukar ke PKP 3.0 dan akhirnya PKP penuh, kes harian Covid-19 masih lagi empat angka,” hujah Zamzuri Mohamed Tahir.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Mahiaddin bercita-cita untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri kelapan dan enggan mengakui kegagalannya biarpun telah memasuki tahun kedua pandemik.