Malaysia Dateline

Pelan separuh masak dibentang menjelang detik terakhir Muhyiddin

Kalau tidak kerana DYMM Raja raja Melayu akan bermesyuarat di Istana Negara hari ini, adakah agaknya Muhyiddin akan membentangkan Pelan Pemulihan Negara Covid-19 jam 5 petang semalam?

Seperti anak yang malas belajar di sekolah membuat persiapan ulang kaji saat terakhir untuk perperiksaan, sudah tentu akan dapat keputusan markah yang corot dan mengecewakan.

Ini bukan soal kegagalan peperiksaan tetapi soal jauh lebih kritikal yang melibatkan kematian rakyat dan jangkitan Covid-19 ratusan ribu rakyat Malaysia.

Kegagalan ini dicapai dengan sumbangan tenaga fikir Kabinet terbesar 72 Menteri dan Timbalan Menteri yang telah digelar rakyat kerajaan gagal.

Pembentangan cadangan Muhyiddin petang Selasa nyata satu kegagalan yang amat mengecewakan rakyat yang menyambutnya dengan penuh cemuhan dan kritikan.

Tan Sri Rafidah Aziz yang sudah lama bersara dari politik menghuraikan kegagalan pelan yang dibentang yang tidak mempunyai strategi. Bagaimana ianya hendak dilaksanakan untuk mencapai kejayaan?

Rakyat juga menyoal cadangan penanda aras 4,000 jangkitan Covid-19 masih terlalu tinggi untuk memulakan fasa berikut untuk membuka ekonomi semula yang akan menyebabkan peningkatan semula jangkitan.

Ahli Parlimen menyoal kenapa Parlimem masih belum dapat bersidang pada bulan Ogos kerana hampir kesemua ahli Parlimen telah pun menerima suntikan mereka?

Cadangan paling awal Parlimen boleh bersidang hanya pada September atau Oktober kalau jangkitan berkurangan hanyalah alasan politik semata-mata.

Kalau kerajaan dengan 72 orang bertaraf Menteri hanya boleh menyediakan cadangan separuh masak di saat-saat terakhir, amat malanglah nasib yang melanda Malaysia.

Pembentangan pelan Muhyiddin hanya 24 jam sebelum Raja-raja Melayu bersidang adalah sikap kerja ala kadar minit terakhir “saat kecederaan” pihak yang terdesak ingin cuba meyakinkan Majlis Raja raja.

Kenapa hanya di saat terakhir? Atau adakah kerana kerajaan merasa tercabar dengan pembentangan cadangan terperinci seorang berusia 96 tahun bernama Tun Mahathir yang telah dipersembahkan kepada Agong beberapa hari sebelumnya ?

Dengan tenaga 72 bertaraf Menteri dan segala kepakaran serta tenaga jentera kerajaan, Muhyiddin sepatutnya telah membentangkan cadangan kerajaan jauh lebih awal dan lebih lengkap serta berstrategi.

Tidak ada perasaan malukah kerajaan Muhyiddin membuat kerja separuh masak dan di saat-saat kecederaan terakhir 24 jam sebelum Majlis Raja raja bertemu di Istana Negara?

Jangan marah kepada rakyat apabila mereka mendakwa kerajaan yang tidak bermaya hari ini telah gagal membela mereka.

Kerajaan terbesar Muhyiddin seperti “dinosaur” zaman silam yang bukan hanya gagal melaksanakan sesuatu untuk keselamatan rakyat, ianya juga gagal untuk merancang sesuatu pelan tindakan yang boleh meyakinkan rakyat yang juga sudah mula diragui oleh beberapa Menterinya sendiri yang sudah bersuara secara terbuka.