Pelan Tempatan KL 2020 diwartakan semalam

Pelan Tempatan KL 2020 diwartakan semalam
Pelan Tempatan KL 2020 yang diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara hari ini.

Jabatan Peguam Negara mewartakan Pelan Tempatan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semalam, 30 Ogos 2018 walaupun ia telah disiapkan sejak 2008 lagi.

Menurut pengumuman pewartaan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara, ia dibuat berasaskan Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 16 Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 [Akta 267], Datuk Bandar Kuala Lumpur, dengan kelulusan Menteri, telah menerima draf pelan tempatan Kuala Lumpur 2020 pada 5 September 2018,” kata penyataan pewartaan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara itu.

Orang ramai boleh melihat atau membeli Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 itu dari Jabatan Perancangan Bandaraya, Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut Kuala Lumpur pada waktu pejabat mulai pertengahan bulan ini.

Keputusan untuk mewartakan pelan ini dibuat pimpinan baru Wilayah Persekutuan yang dipimpin oleh menterinya Khalid Samad walaupun ia sudah lewat 10 tahun selepas ia disiapkan 2008 lalu.

Ketika mengumumkan perkara ini selepas beliau dilantik sebagai menteri, Khalid berkata, langkah ini bertujuan supaya semua pihak mempunyai panduan yang jelas dalam pembangunan Kuala Lumpur bukan mengikut kehendak pihak yang membuat keputusan semasa sahaja.

Khalid dan para pegawainya berdepan dengan para Ahli Parlimen Kuala Lumpur selepas memberikan taklimat mengenai Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2020 sebelum ia diwartakan hari ini.

TAKLIMAT

Sebelum pelan ini diwartakan semalam, semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diberikan taklimat oleh Khalid dan Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham pada satu majlis makan tengahari 29 Oktober di bangunan Parlimen, sehari sebelum ia diwartakan.

Ia bertujuan untuk memberitahu mereka apa yang akan diwartakan.

Dalam majlis itu, Khalid menjelaskan, pelan ini diwartakan beserta dengan addennum atau pembetulan kepada segala pelanggaran yang telah dibuat terhadap pelan yang ditambahbaik pada kali terakhir 2015 lalu.

Dengan pewartaan ini, walau terlewat, segala pembangunan Kuala Lumpur akan terikat dengan pelan ini sehingga pelan tempatan Kuala Lumpur 2040 disiap dan akan diwartakan pada 2020 nanti.