Malaysia Dateline

Pelan terakhir Umno mesti keluar terus dari PN

Pemerhati dan penulis politik pro Umno, Datuk Zaharin Mohd Yassin berkata, ketika ini Umno perlu selesaikan masalah bagaimana parti itu mahu keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, keputusan Umno sedang menjadi tanda tanya dan semua pihak akan memerhati tindakan parti itu selepas memutuskan untuk menarik semula sokongan dari Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

“Umno dia kena lalui cara macam mana nak selesaikan kemelut dalam fasa ketiga dalam pelan nak keluar dari kerajaan ini. Pelan pertama dah lulus iaitu tidak menyokong Bersatu masa pilihan raya.

“Pelan kedua, tarik sokongan dari Mahiaddin. Pelan tiga ini tak ada tarik-tarik lagi dah. Kena keluar terus, itu sahajalah, katanya dalam satu siaran langsung di Facebook semalam.

Bekas Setiausaha Umno Bahagian Bandar Tun Razak itu berkata, jika menteri-menteri Umno mempertahankan kerajaan, itu semestinya kerana mereka berkhidmat untuk kerajaan itu.

Bagaimanapun katanya jika ada ahli-ahli lain yang turut mempertahankan PN, pihak itu perlu dipersoalkan tindakannya.

“Kalau ada Ahli Parlimen (bukan menteri) yang bersuara lantang pertahankan kerajaan, kita kena tanya apa kena. Dah kena lambai ke,” soalnya.

Sementara itu beliau berkata, melihatkan perkembangan situasi negara, semua pihak perlu bersatu melawan kemungkaran politik yang sedang dilakukan Mahiaddin.