Pelan Tindakan Pilihan raya PAS Selangor dilancarkan pada Ahad

Pelan Tindakan Pilihan raya PAS Selangor dilancarkan pada Ahad

Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, PAS negeri akan mengumpulkan jentera pilihan rayanya Ahad ini bertempat di Stadium tertutup Kuala Selangor.

Jelasnya himpunan itu nanti akan dihadiri oleh Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Tujuan himpunan itu untuk memberi taklimat mengenai gerak kerja pilihan raya terkini yang perlu dilaksanakan di semua peringkat.

“Penerangan tentang isu-isu terkini akan dibincangkan dan Pelan Tindakan pilihan raya PAS Selangor juga akan dilancarkan di perhimpunan itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya seramai 5,000 wakil cawangan PAS dari seluruh negeri Selangor akan hadir.

Dalam perkembangan lain esok dijangka Presiden PAS dijadualkan akan berucap di Kota Bharu, bersama pemimpin PAS Pusat,Negeri dan wakil rakyat PAS seluruh negeri yang akan bermesyuarat untuk membincangkan perihal kerjasama dengan Umno.

Ekoran Majlis Syura Ulamak PAS yang bersidang pada 2 Januari lalu mengizinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk Umno demi kepentingan Islam, bagaimanapun menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai BN.

Dalam hal berkaitan, Setiausaha BN Kelantan, Datuk Hanafi dilaporkan berkata, kerjasama tidak membawa erti sekiranya tidak berakhir dengan berpakat dalam pilihan raya.

Katanya, Umno sejak dulu konsisten tidak tamak untuk berkongsi kuasa sebaliknya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Menyifatkan parti-parti politik tidak perlu membuang masa berpolemik hal kerjasama jika gagal untuk bersama dalam pilihan raya, Hanafi berkata, BN Kelantan tiada masalah dengan keputusan PAS yang tidak akan menyertai BN.

TAGS