Malaysia Dateline

Pelan tindakan Tabung Haji sesuatu yang amat penting, kata Mujahid

 

Pelan tindakan Tabung Haji (TH) bagi tempoh lima tahun akan datang dilihat sebagai sesuatu perancangan yang amat penting.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan tersebut dilihat sangat penting disebabkan oleh faktor-faktor kelestarian.

“Pelan tindakan itu sangat penting. Lima tahun ke hadapan kita bercakap soal kelestarian atau pun ia melibatkan soal kita melihat semula kos-kos pengurusan, kos perjanjian yang telah dibuat dan kewajaran kita untuk melakukan pelaburan.

“Semua perkara itu kita kena menilai semula. Sekarang ini kita ada kira-kira 9.7 juta pendeposit dengan nilai lebih kurang RM70 bilion. Semua itu perlu dikekalkan.

“Jadi, untuk mengekalkan semua itu, program kelestarian untuk tempoh lima tahun akan datang perlu diwujudkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk Pondok, Tahfiz dan Masjid di Seluruh Negara serta Penyerahan Bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kepada Asnaf dan Pelajar Sekolah.

Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu diadakan di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya hari ini.

Dr Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH mengulas demikian ketika ditanya mengenai kewajaran pelaksanaan pelan tindakan TH bagi tempoh lima tahun.

Semalam, Bernama melaporan TH sedang merangka pelan tindakan (blueprint) untuk tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 bagi menambah baik mutu perkhidmatan dan operasi haji yang dikendalikan institusi itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelan tindakan yang julung kali diperkenalkan itu dijangka siap pada suku pertama tahun depan, akan membolehkan TH membuat perancangan awal seiring pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Di Tanah Suci ada banyak perubahan fizikal seperti hotel lama yang diruntuhkan, dibina baharu, ada juga penempatan-penempatan baharu, dan ia memerlukan TH untuk menilai perkhidmatan yang diberikan.

“Sebagai contoh, hotel-hotel kita terletak 950 meter dari Masjidil Haram, dan sekiranya makin jauh akan beri implikasi kepada jemaah,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.