Malaysia Dateline

Pelan vaksinasi ‘siapa cepat, dia dapat’ di Sarawak

Sarawak menerusi pasukan Petugas Imunisasi akan melaksanakan Pelan Vaksinasi Covid-19 secara sukarela dengan konsep ‘siapa cepat, dia dapat’.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, vaksin akan dibekalkan ke negeri ini melalui koordinasi CIFT kebangsaan dan akan ditawarkan kepada masyarakat yang memenuhi syarat berdasarkan ‘siapa cepat, dia dapat’ secara janji temu.

Beliau berkata, pusat vaksinasi yang terpisah dan khusus akan didirikan dan disiapkan bagi tujuan berkenaan yang bakal diumumkan nanti.

“Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (SCoVAG) telah meneliti dan mengkaji perkembangan Covid-19 secara global dengan vaksin AstraZeneca Covid-19 (sekarang disebut Vaxzevria).

“SCoVAG telah mengemukakan cadangan untuk menggunakan vaksin AstraZeneca (Vaxzeyria) yang layak secara sukarela kepada CITF Sarawak.

“Selepas tinjauan dan pembentangan, CITF memutuskan untuk membenarkan penggunaan vaksin AstraZeneca Covid-19 bagi melengkapkan Pelan Vaksinasi Covid-19 negeri ini.

“Keputusan ini dibuat susulan daripada pengumuman daripada kerajaan persekutuan bahawa vaksin AstraZeneca akan menjadi sebahagian daripada Pelan Vaksinasi Covid-19 di seluruh negara.

“Oleh demikian, keputusan dibuat untuk mengambil vaksin AstraZeneca daripada Pelan Imunisasi Covid-19 Nasional dan vaksin ini ditawarkan kepada mereka yang menawarkan diri dengan cara ‘siapa cepat, dia dapat’, “jelas beliau dalam satu kenyataan.

Uggah turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak mahu Program Vaksinasi Covid-19 di Sarawak terganggu dengan ketakutan dan keraguan masyarakat mengambil vaksin tersebut.

“Hasil tinjauan menunjukkan bahawa 69.4 peratus daripada 1,037 respon menyokong pemberian pilihan kepada penduduk Sarawak bagi diberi vaksin AstraZeneca.

“Namun, hanya 52.9 peratus daripada 1,040 respons yang diterima sebenarnya ingin diberi dengan vaksin AstraZeneca.

“Melihat kepada kesediaan rakyat di Sarawak memilih vaksin AstraZeneca, CITF Sarawak dengan ini bersetuju untuk membenarkan vaksin ini digunakan secara sukarela,” tambah beliau lagi.