Malaysia Dateline

Pelancaran jentera pilihan raya serlahkan keangkuhan Umno

Tindakan Umno mengadakan majlis pelancaran jentera pilihanraya BN secara besar-besaran bagi menghadapi PRN Melaka di PWTC Kuala Lumpur malam tadi adalah jelas melanggar arahan kerajaan.

Dalam arahan Kementerian Kesihatan yang diumumkan Khairy Jamaluddin pada 24 Oktober lalu dengan terang menyebut – sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya adalah tidak dibenarkan, termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya berkuatkuasa 25 Oktober hingga 27 November.

Meskipun difahami pilihan raya diadakan di Melaka, tetapi tidak disebut sama sekali larangan itu hanya berkuatkuasa di negeri Melaka semata-mata.

Ini bermakna, mengadakan sebarang majlis yang ada kaitan dengan pilihan raya, bukan saja dilarang diadakan di Melaka, tetapi juga di seluruh negara.

Bahkan, jika di atas kayangan sekali pun hendak diadakan majlis yang ada kaitan dengan pilihan raya, ia juga dilarang selagi di bawah cakerawala negara ini.

Dengan itu, mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya di PWTC adalah suatu kesalahan yang sahih, terang lagi nyata.

Bukan saja Umno patut didenda, malah pemimpin utamanya juga mesti diambil tindakan sewajarnya atas pelanggaran undang-undang secara sengaja.

Sekaligus, tindakan Umno melanggar arahan kerajaan yang ditunjangi Umno dan dikeluarkan oleh menteri Umno sendiri adalah melambangkan keangkuhan dan kesombongannya.

Kalau Umno sendiri senang-senang melanggar dan tidak mempedulikan arahan kerajaan, bagaimana Umno mahu menunjukan ia sebagai parti yang bertanggungjawab kepada rakyat?

Adakah kesombongan serta keangkuhan Umno itu kerana mereka merasakan mereka kini sudah menguasai kerajaan?

Atau ia sebagai penzahiran tidak setuju dengan tindakan Khairy Jamaluddin yang semua orang tahu beliau agak tidak disenangi oleh kepimpinan Umno sedia ada sekarang ini?

Apa pun alasan Umno mengadakan majlis pelancaran jentera pilihan raya malam tadi yang melanggar arahan kerajaan, sambil dalam waktu yang sama mempamerkan keangkuhan serta kesombongannya, ia tetap merupakan tindakan yang salah serta melanggar undang-undang.

Kalau Umno merasakan mereka sekarang boleh bersikap sombong dan angkuh kerana sudah menguasai kerajaan, sedarlah bahawa mereka sebenarnya adalah parti yang kalah dan ditolak rakyat pada PRU-14 lalu.

Bukan saja di Melaka mereka kalah, bahkan di seluruh negara rakyat telah menolak Umno. Jadi, nak sombong apa kalau jadi kerajaan pun bukan dengan melalui undi rakyat?

Selain itu, kalau arahan kerajaan itu dilanggar kerana tidak setuju dengan tindakan Khairy selaku Menteri Kesihatan, sedarkah Umno bahawa pelantikan Ahli Parlimen Rembau itu dibuat oleh Perdana Menteri daripada Umno sendiri?

Jadi sekarang, dengan melanggar arahan Kementerian Kesihatan itu, Umno sebenarnya mahu menunjukkan protes kepada siapa? Kepada Khairy atau kepada Ismail Sabri Yaakob yang melantiknya sebagai menteri?

Yang nyata, dengan tindakan Umno terang-terang melanggar arahan kerajaan itu, ia kini semakin menghakis dirinya, sekurang-kurangnya di bawah kepimpinan yang ada sekarang, sebagai parti yang berjuang dengan penuh hikmah, akur kepada peraturan, undang-undang serta berjiwa rakyat.

Ternampak, kerakusan nafsu lebih mengatasi jiwa Umno sehingga apa-apa saja sedia dilanggar jika bertentangan dengan keinginan.

Kepada pengundi Melaka dan rakyat seluruhnya, bayangkan dan fikirlah sendiri jika dengan keangkuhan dan kesombongan ini, kemenangan masih juga ingin diberikan kepada mereka?