Pelancong mabuk guna khidmat kereta api Delhi Metro meningkat – statistik

Pelancong mabuk guna khidmat kereta api Delhi Metro meningkat – statistik

Jumlah pelancong mabuk yang menggunakan perkhidmatan kereta api Metro Delhi meningkat hampir tiga kali ganda pada 2018 berbanding tahun sebelumnya, menurut statistik syarikat itu.

Sepanjang tahun itu juga seramai 1,416 penumpang mabuk telah didenda berbanding 476 pada 2017, lapor agensi berita Xinhua.

Kebanyakan penumpang mabuk naik dari stesen di New Delhi memandangkan bandar raya itu mempunyai banyak pub dan kelab hiburan.

Perkhidmatan kereta api terbabit dikendalikan syarikat Delhi Metro Rail Corporation (DMRC).

Dari 2014 hingga 2018 seramai 3,601 penumpang didenda kerana melakukan perjalanan dalam keadaan mabuk, dan sejumlah 1.8 juta rupee berjaya dikutip, lapor The Times of India pada Khamis memetik data DMRC.

Walaupun terdapat papan amaran melarang penumpang mabuk menggunakan perkhidmatan itu namun masih ramai mengendahkannnya, kata jurucakap DMRC.

Undang-undang dan peraturan di kawasan stesen adalah di bawah kawal selia Pusat Keselamatan Industri Pusat (CISF).

Menurut para pegawai CISF, terdapat kes pihaknya terpaksa menurunkan penumpang mabuk di stesen-stesen tertentu.

Peraturan menghalang penumpang mabuk menggunakan perkhidmatan kereta api tanpa berteman bagi mengelakkan penumpang lain terganggu dan kejadian cuba melompat keluar dari gerabak.

— BERNAMA