Malaysia Dateline

Pelancongan, pertanian jadi sumber ekonomi utama bila PH tadbir Kelantan

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (foto) menegaskan komitmen PH untuk menjadikan bidang pelancongan dan pertanian sebagai sumber ekonomi Kelantan jika diberi peluang mentadbir negeri ini.

“Inisiatif pelancongan dan pertanian ini telah kita mulakan sekarang dan bukan menunggu kita diberi peluang mentadbir,” katanya ketika menjawab soalan di majlis dialog kedai kopi di Simpang Jeram Linang anjuran PH Dun Gaal, baru-baru ini.

Abdul Rahim menjawab soalan pengarah pilihan raya Dun Gaal Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Abdul Rahman Abdullah berhubung pusat peranginan Jeram Linang yang kini terbiar dan kotor.

“Saya cukup sedih sebagai penduduk di sini, anugerah yang begini indah dibiarkan begitu saja malah mungkin jada pusat kerosakan alam pula,” katanya.

Menurut Wan Rahim Pemuda AMANAH Kelantan telah memulakan beberapa projek berkaitan dua sektor ini.

“Dalam hal Jeram Linang ini, kerana ia diurus oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kita hanya dapat buat penambahbaikan selepas kita dipilih rakyat,” katanya.

Jeram Linang adalah antara kawasan air terjun terawal dibangunkan sebagai kawasan rekreasi di Kelantan.

Air terjun Jeram Linang adalah dari jenis air terjun bertingkat setinggi 12 meter dan menjadi tumpuan orang ramai dari kawasan Pasir Puteh, Machang dan Kota Bharu.

Ketika pusat rekreasi ini menjadi tumpuan ramai, penduduk tempatan khususnya di sekitar Dun Gaal menjalankan perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan.

Dalam keadaan yang tidak terurus dan ketiadaan pengunjung, sumber pendapatan penduduk turut terjejas.

Turut hadir di majlis dialog itu pengerusi Jawatankuasa Dun (JDUN) Gaal Muhammad Said dan Timbalan Ketua AMANAH Bachok Ismail Ghani.

Pusat peranginan Jeram Linang kini terbiar sepi ekoran ketiadaan pengunjung.