Malang tidak berbau, nasihat itu sering diungkap bertujuan mengingatkan kita bahawa musibah hadir tanpa sebarang tanda atau pun isyarat.
Bagaimanapun, jika sesuatu itu ditakdirkan terjadi, maka ia akan terjadi juga seperti seorang lelaki ini yang ditimpa nasib malang.
Kisahnya macam ini, dia membeli sebanyak 300 unit iPhone dari premis utama produk Apple di 5th Avenue, New York City, namun dilaporkan mengalami kerugian kira-kira AS$95,000 (RM415,797) akibat dirompak.
Lapor Oddity Central, lelaki berusia 27 tahun itu dirompak sejurus selepas meninggalkan premis Apple di Manhattan pada pukul 1.45 pagi (waktu tempatan)
Lelaki itu dirompak semasa berjalan ke keretanya yang diparkir berhampiran premis tersebut sekali gus kehilangan 125 buah telefon pintar bernilai hampir RM415,797,” jelas laporan itu.
Menurut Jabatan Polis New York (NYPD) dalam satu kenyataan, lelaki itu merupakan pelanggan tetap di premis Apple tersebut dan sering membeli iPhone secara pukal untuk dijual semula di kedainya.
Jelas NYPD, sebuah kenderaan berhenti di sebelah mangsa ketika berjalan menuju ke tempat letak kereta, sambil membawa tiga beg mengandungi iPhone.
“Dua lelaki keluar dari kenderaan itu dan menuntut mangsa menyerahkan beg mengandungi iPhone tersebut.
“Namun, apabila mangsa enggan berbuat demikan, mereka menumbuk muka lelaki itu lalu merampas salah sebuah beg dipegangnya sebelum melarikan diri,” jelas kenyataan itu.
Tambah NYPD, terdapat kemungkinan kumpulan perompak itu memantau pergerakan mangsa sejak sekian lama.
Bagaimanapun, jelas NYPD, kes itu masih sedang disiasat dan pihaknya memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya tampil ke hadapan untuk membantu siasatan.
Kedai utama produk Apple di 5th Avenue beroperasi 24 jam sehari dan dilaporkan jualan Black Friday sedang berlangsung di premis itu pada hari kejadian.
Baca juga: Letak kapsyen ‘polis sedang cari makan’, pengguna TikTok diburu cuba cemar imej PDRM
Baca juga: Fuh! Macam mana dia makan roti pintal gergasi tu?