Pelanggan bergaji RM2,000 nak beli iPhone 15 Pro Max, mohon tempoh ansuran 5 tahun

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, anak muda pada masa kini sanggup berhutang dalam tempoh yang lama semata-mata untuk membeli telefon pintar berjenama mencecah ribuan ringgit.

Konon bertujuan meringankan beban, pembelian telefon pintar secara ansuran atau menggunakan pembiayaan kredit ini boleh menyumbang kepada masalah kewangan.

Terbaharu, seorang individu tampil berkongsi satu tangkap layar memaparkan situasi mengejutkan melibatkan anak muda yang memiliki pendapatan sebanyak RM2,000.

Anak muda terbabit mulanya menghantar mesej kepada penjual telefon menanyakan prosedur bayaran ansuran dan model iPhone yang ditawarkan oleh kedai gajet itu.

Penjual telefon kemudian memaklumkan kepada anak muda itu bahawa khidmat pembayaran secara ansuran ini hanya ditawarkan buat pelanggan yang tidak memiliki slip gaji.

Anak muda itu bagaimanapun tetap mahu mendapatkan telefon iPhone 15 Pro Max idamannya dengan ansuran bulanan terendah malah sanggup mengikat kontrak dalam tempoh 5 tahun.

Namun penjual telefon terbabit tidak menyambut baik permintaan anak muda berkenaan kerana tempoh ansuran itu terlalu lama hingga menyerupai proses pembelian kereta.

Enggan berputus asa, anak muda itu malah memberikan alternatif kepada penjual dan menyatakan kesediaannya untuk berurusan dengan syarikat pinjaman berlesen seperti Aeon Credit dan JCL.

Tangkap layar memaparkan perbualan antara pelanggan dan penjual telefon terbabit.

“Syarikat pinjaman mana nak layan, budak ini mahu membeli iPhone 15 Pro Max secara ansuran selama lima tahun. Tak bolehlah aku,” kata individu yang memuat naik tangkap layar tersebut di laman Facebook.

Tular di media sosial, perkongsian itu telah mengundang perbincangan mengenai masalah anak muda masa kini yang sanggup berbelanja di luar kemampuan untuk menunaikan kemahuan mereka.

Ramai juga pengguna platform Facebook tampil untuk memberi nasihat agar individu itu menyimpan wang dahulu sekiranya mempunyai sebarang kemahuan sebelum membuat pembelian secara tunai.

Baca juga: Netizen jumpa Instagram pemain bola bawa kerambit atas padang, semua pakat ‘berkampung’