Malaysia Dateline

Pelanggan dari neraka, maki pekerja sebab saiz cawan kopi sahaja

Slogan ‘Customer is Always Right’ ini sering diamalkan di negara Barat dan pastinya pelanggan serata dunia menggunakan ia untuk buktikan mereka selalu betul tanpa mengira situasi.

Tetapi ini tak bermakna pelanggan selalunya betul sehingga merasa anda berhak untuk memaki dan mengherdik pekerja yang tidak menurut perintah.

Satu video telah dimuat naik di Twitter mengenai pekerja ZUS Coffee yang terpaksa menahan diri daripada bertengkar dengan pelanggan.

Pelanggan tersebut dikatakan meminta cawan yang lebih besar seperti yang dibeli sebelum ini.

Namun wanita tersebut sudah menerangkan bahawa cawan untuk air hot Amerikano adalah saiz standard iaitu hanya 12 oz.

Pertengkaran ini berlangsung kerana pelanggan tidak dapat menerima hakikat cawan yang dibelinya tidak besar, perbezaan antara dua cawan tersebut hanyalah 4 oz sahaja.

Pelanggan tersebut juga sempat mengeluarkan makian sebelum keluar dari kedai itu.

“Kau ingat aku bodoh ke, lahanat sial,” kata pelanggan dituju kepada pekerja kedai tersebut.

Pekerja wanita yang juga penyelia tidak lekang dengan kata maaf daripada mulutnya.

“Saya minta maaf, encik dan cik, kami hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan hot Amerikano hanya ada satu saiz cawan sahaja.

“Saya minta maaf kalau ada pekerja saya yang bagi saiz besar tapi saya percaya mereka tidak pernah melanggar SOP,” kata wanita tersebut.

Seorang pengguna Twitter, @IniAlalalannn luah rasa kasihan kepada pekerja industri makanan dan minuman (F&B).

Malah dia turut mengecam tindakan pelanggan tersebut yang membuat kecoh hanya kerana saiz cawan sahaja.

“Tak malu ke nak mengamuk dan tengking sambil buat kecoh dalam kedai semata-mata secawan Americano macam ini?

“Orang dah jelaskan tetap juga nak kata yang dia betul.

“Kesian yang kerja F&B kadang-kadang kena layan pelanggan dari neraka macam ini,” luahnya.

Baca juga: Pemuda anggap flat dihuni kaum Cina lebih bersih, ‘flat Melayu pula kotor, busuk’