Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas sebuah restoran di Pulau Pangkor dikatakan mengenakan harga cekik darah kepada pelancong dan menghidangkan makanan yang tidak setanding dengan harga.
Menerusi video yang tular di media sosial, seorang pengguna TikTok menggunakan akaun Kekyahkentang berkata, dia terkilan apabila dicaj RM75 bagi seekor ikan bakar siakap yang seberat antara 600 hingga 700 gram.
Wanita itu juga turut membuat perbandingan antara harga makanan di Pulau Pangkor dengan restoran lain di KLCC yang jauh lebih gah.
“Ikan bakar siakap sekitar 600-700g RM75 kalah harga ikan dekat KLCC dan Pavilion. Kedai kerusi pun berkulat, perkhidmatan kurang baik, kemudian rasa biasa-biasa je. Keseluruhan makan RM142 sebab minum air kosong je.

“Maaf Kekyah bukan jenis berkira pasal makan tapi ini sangat tidak berbaloi.
“Sama harga macam makan ikan dekat Swiss harga dia. Makan di Singapura pun tak semahal makan di sini walaupun kena darab 3.5,” luahnya.
Wanita itu juga berkata, niatnya yang mahu menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan juga terbantut disebabkan sikap peniaga yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.
Dia juga menasihatkan orang ramai agar berhati-hati apabila menjamu selera di mana-mana restoran sekitar Teluk Nipah yang mengenakan harga mahal terhadap pelancong
“Bila tak pergi melancong dalam negara selalu persoalkan tak sokong (ekonomi) tempatan tapi lihatlah. Peniaga jenis cekik darah macam ini.
“Sesiapa pergi Pangkor itu hati-hati lah makan dekat kawasan Teluk Nipah ni. Korang makan sekitar bandar je lah selamat harga tak cekik darah macam ini,” ujarnya.
Sementara itu menjengah ke ruangan komen, ada beberapa pengguna mendakwa mereka juga pernah terkena dengan restoran sama.
Niat awal untuk membantu gerai yang kosong tiada pelanggan, namun akhirnya mereka yang terkapai ‘meminta bantuan’.
“Kena juga tahun lepas. Ini kedai kakak yang pakai gelang besar tu ke Kekyah? Sebab tengok suasana kedai macam kedai kakak tu.
“Kita masuk sebab kesian tak ada orang kedai dia. Ingat nk tolong, tapi hujung-hujung kita yang kena minta tolong minta nyawa tengok harga. Dengan rasa pun tak sedap langsung,” komen warganet.
“Langkawi dengan Pulau Pangkor memang untuk jutawan-jutawan timbang kilo dengan T20. Nak murah pergi Hatyai je pasti sesuai untuk marhaen B40,” kata yang lain.
Baca juga: Selalu masak guna ‘air fryer’, wanita ini kongsi tips penting yang anda perlu ikut!