Pelanggan sanggup bayar RM410, beli nasi lemak berlauk kayangan termasuk lobster!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, penggemar nasi lemak sanggup berbelanja sebanyak RM410 hanya untuk membeli hidangan sarapan pagi yang cukup digemari oleh rakyat Malaysia itu.

Nasi lemak yang dibeli oleh pelanggan berkenaan bukanlah menu biasa sebaliknya dihidang bersama ‘lauk kayangan’ termasuklah makanan laut seperti ‘lobster’ atau udang kara.

Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di akaun TikTok milik peniaga nasi lemak berkenaan yang menjalankan perniagaannya di sebuah gerai di Dungun, Terengganu.

Dalam rakaman tersebut, dilihat peniaga terbabit mulanya membungkus sebanyak tujuh hidangan nasi lemak yang dipesan pelanggannya sebelum bertanyakan jenis lauk pilihan.

Pelanggan yang berasal dari Besut, Terengganu itu kemudian membuat pilihan tanpa ragu-ragu dengan memesan dua ekor udang kara, dua ekor sotong bersaiz ‘jumbo’, tiga ekor udang, telur ikan, dua ketul ayam goreng dan sambal telur puyuh.

@juraidamamad2

orang besut sila hadir🦑🦑🦑🦞🦞

♬ bunyi asal – umi nasi lemak – umi nasi lemak

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian tular tersebut sudah berjaya meraih tontonan dari 1.2 juta pengguna TikTok dengan rata-ratanya terkejut apabila pelanggan terbabit sanggup berbelanja sebanyak itu untuk membeli nasi lemak.

Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai pengguna berkongsi pendapat bahawa harga nasi lemak berkenaan sudah mampu menampung perbelanjaan barang dapur di rumah mereka untuk satu keluarga.

Beberapa individu turut tampil memuji peniaga terbabit kerana kreatif mencipta kelainan untuk melariskan jualan dengan menjual lauk yang jarang ditawarkan di premis nasi lemak lain.

“Kalau aku dapat makanan dengan harga sebegini, nak buang air besar pun sayang wehh. Beli mahal-mahal. Kita tak mampu, tengok orang sahajalah. Duit banyak ini cukup beli barang dapur sahaja,” seloroh seorang pengguna.

“Mungkin sudah murah harga itu. Bukan lauk biasa yang dipilih. Kagum apabila orang kita bijak mempelbagaikan lauk. Secara automatik kedai itu menjadi unik dan dapat perhatian org ramai.” Puji pengguna lain terhadap usaha peniaga nasi lemak berkenaan.

Ramai pelanggan cakap rasa nasi lemak ini sedap, betul ke orang Terengganu?

Baca juga: Diperlekeh sebab hargai kasut ‘fake’ mak beli, adik Arman dapat kasut original