Pelanggan terkejut beli air RM5 tapi dicaj lagi RM3 sebab minta ais kurang

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pelanggan terkejut apabila sebuah gerai di bazar Ramadan mengenakan caj tambahan sehingga RM3 untuk sebungkus air yang dikurangkan ais batu

Menerusi perkongsian @eshamsoda di TikTok, dia pada awalnya membeli sebungkus air Strawberi berharga RM5, sambil menambah pesanan agar ais dikurangkan.

Namun dia tidak menyangka apabila peniaga tersebut mengenakan caj RM3, membuatkannya terpaksa membayarnya kerana pesanan telah siap dibungkus.

“Hari ini beli air strawberi dekat bazar Ramadan. Dia tulis air sebungkus RM5, tak nak ais kena tambah RM3, jadi saya pun cakap kat budak itu (pekerja) nak air strawberi satu tapi kurang ais.

“Dah buat, dah bungkus bapa dia datang tanya kurang ais ya? Saya pun jawablah ya.

“Pastu bapa dia kata tambah RM3, tapi saya balas lah kurang ais sahaja bukan tak ada ais, tapi bapa dia kata sama kena tambah RM3 juga. Aku fikir bulan Ramadan sahaja ini,” luahnya.

Katanya, secara keseluruhan dia perlu membayar RM8 untuk sebungkus air strawberi yang dibelinya itu.

Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, ramai yang menyifatkan peniaga tersebut sengaja mengambil kesempatan mengenakan caj tambahan melampau untuk permintaan kurang ais oleh pelanggan.

“Mahal betul, selalunya kurang ais ni orang tambah 50 sen atau RM1 sahaja, kalau sampai RM3 tanpa air logik la lagi, ambil kesempatan betul, uji kesabaran orang berpuasa,” kata Syafiq.

“Kalau kena pada aku, tak kira la dia dah bungkus masuk plastik sekali pun, kalau caj harga tak masuk akal memang aku reject (batal pesanan) terus,” ujar pengguna lain.

Baca juga: Ustaz sangkal dakwaan mak Neelofa tentang amalan baca bismillah 787 kali