Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perda perlu disegerakan, gesa Bersatu Tasek Gelugor

Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Perda perlu disegerakan, gesa Bersatu Tasek Gelugor

Ketua Bahagian Bersatu, Tasek Gelugor, Datuk Seri Shariff Omar, mendesak kerajaan supaya segera menangani pelantikan Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Penyelas Dun Permatang Berangan, Tasek Gelugor di Padang Menora, semalam.

Jelas beliau lagi, kelewatan pelantikan tersebut menyebabkan banyak kerja-kerja membabitkan pembangunan lembaga tersebut tidak dapat berjalan dengan lancar.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Bersatu Pulau Pinang turut berkata, isu ini begitu kerap dibangkitkan semasa kempen pilihan raya umum (PRU) pada Mei lalu.

Namun begitu setelah mandat diperolehi pada PRU14 yang lalu, ia belum dapat ditangani dengan sempurna sehingga kini.

“Sejarah telah membuktikan bahawa pada tahun 1984 Perda ditubuhkan adalah bagi memberi fokus terhadap pembangunan kawasan luar bandar.

“Semasa pentadbiran BN dahulu Perda berperanan untuk menseimbangkan kemajuan di luar bandar.

“Malah Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempunyai bidang kuasa yang luas bagi mengatasi masalah ini dengan segera,” tegasnya lagi.

Loading...

Ujarnya lagi, kebanyakan tanah-tanah yang dimiliki oleh Perda adalah bagi kawasan Parlimen Tasek Gelugor dan juga Kepala Batas,

Oleh kerana itu, ia melibatkan banyak tanah-tanah pembangunan yang dimiliki oleh orang Melayu dan perlu dibangunkan.

“Apabila masalah ini tidak dapat diselesaikan sejak mulai menerajui kepimpinan pada Mei yang lalu, sudah pasti ia memberi kesan yang besar.

“Banyak perancangan tidak dapat dilaksanakan dengan segera kerana tiada pihak yang mempunyai autoriti bagi meluluskan dan pelaksanaan tersebut.

“Kesannya banyak perkara tertangguh dan tidak dapat disempurnakan sepertimana yang dirancang,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu katanya, adalah diharapkan kerajaan dapat segera menangani isu ini tanpa mengambil masa yang lebih panjang.

“Kita tidak mahu kelak masyarakat melabelkan kita sebagai hangat-hangat tahi ayam.

“Pada peringkat awal kita melaung-laungkan kegagalan Perda dan pentadbiran mereka.

“Namun kini, setelah berjaya menerima mandat dan menjadi kerajaan, ia seolah-olah dilupakan,” katanya lagi.