Pelantikan anggota SPRM, Ketua Audit Negara ditentukan Jawatankuasa Khas Parlimen

Pelantikan anggota SPRM, Ketua Audit Negara ditentukan Jawatankuasa Khas Parlimen

Kuasa kerajaan dan Perdana Menteri dalam urusan pelantikan beberapa jawatan penting akan dikurangkan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata pelantikan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara akan ditentukan oleh jawatankuasa khas itu selepas cadangan penubuhannya dipersetujui.

Beliau berkata kedua-dua jawatan tersebut sangat penting kerana ia berkait dengan soal integriti serta memastikan pengurusan kerajaan mengikut aturan, satu elemen penting dalam menentukan usaha membanteras rasuah dapat dilakukan.

“Apabila kuasa melantik diletak di bawah Jawatankuasa Khas Parlimen, kerajaan atau Perdana Menteri tidak lagi boleh campur tangan, malah tiada kuasa untuk mengambil tindakan, menjatuhkan hukuman atau menurunkan pangkat mana-mana jawatan di dalam jabatan berkenaan,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di bangunan Perdana Putra, dalam kenyataan dilaporkan Bernama semalam.

Dr Mahathir berkata sebelum ini pelantikan jawatan utama di SPRM dan Jabatan Audit Negara ditentukan oleh Perdana Menteri yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata dengan peralihan kuasa melantik kepada Jawatankuasa Khas Parlimen, ia secara tidak langsung akan memperketat pentadbiran kewangan negara, sekaligus mengurangkan sebarang perlakuan rasuah.

Beliau berkata jawatankuasa khas itu juga berperanan dalam mengambil sebarang tindakan sekiranya wujud sebarang kesalahan melibatkan anggota dalam jawatan-jawatan tersebut.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga sedia melakukan perubahan terhadap perkara-perkara yang memerlukan sokongan dua pertiga anggota Dewan Rakyat termasuk mengehadkan tempoh Perdana Menteri memegang kuasa kepada dua penggal sahaja.

“Banyak lagi perubahan yang kita sedia lakukan tetapi ia memerlukan sedikit masa dan buat masa ini kita tumpukan pada usaha mengurangkan kuasa kerajaan dan Perdana Menteri dalam pelantikan anggota SPRM dan Ketua Audit Negara,” katanya.

Mengenai mekanisme memastikan anggota pentadbiran kerajaan membuat pengisytiharan harta, Perdana Menteri berkata langkah itu telah pun bermula.

“Kita telah siapkan borang yang membolehkan anggota Parlimen dan menteri-menteri tahu apa yang mereka perlu isytiharkan,” katanya.

Perdana Menteri pada mesyuarat JKKMAR pada 8 Jun lalu menzahirkan komitmen supaya mekanisme berkaitan dengan deklarasi harta dan pemberian hadiah dapat diperkenal segera yang mana selain diserahkan kepadanya, maklumat itu juga akan diserahkan kepada agensi-agensi pencegahan rasuah.

COMMENTS

Wordpress (0)