Malaysia Dateline

Pelantikan Ketua Hakim Negara: AMANAH tidak berdiam diri

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan walaupun mahkamah hari ini menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, langkah tersebut dibuat bagi memastikan institusi kehakiman tidak tercemar memandangkan pemfailan semakan pelantikan itu selari di sisi perlembagaan.

“Kita boleh katakan, ini satu keputusan yang mengejutkan kerana ditolak begitu saja dalam kamar.

“AMANAH akan membincangkan satu tindakan politik yang lebih meyakinkan. Insya-Allah kita tidak akan berdiam diri,” tegasnya kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Peguam Mohamed Hanipa Maidin, mewakili Penolong Setiausaha AMANAH, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus yang memohon kebenaran semakan kehakiman tersebut manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak Md Raus selaku responden tunggal.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi menolak permohonan itu dengan kos RM5,000 semasa kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Abang Ahmad Kerdee memfailkan permohonan itu pada 1 November lalu bagi menuntut pengisytiharan bahawa pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan pada 4 Ogos 2017 di bawah Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak mempunyai apa-apa kesan.

Beliau turut menuntut supaya dibenar untuk mendapatkan ‘Writ Quo Warranto’ bagi responden menunjukkan sebab dan pengesahan tentang apa dan bagaimana responden memperoleh jawatan tersebut.

Pemohon juga menuntut perintah certiorari untuk membatalkan pelantikan responden bagi kedua-dua jawatan itu
serta perintah injunksi bagi menghalang responden dan/atau ejen Md Raus melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugasnya.

Md Raus mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 4 Ogos lalu.

Beliau menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said juga hadir dalam upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan tersebut.

Turut hadir pada malam itu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Sebelum itu, Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara ke-14 pada 1 April lalu ketika perkhidmatannya sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan selama enam bulan dari 4 Februari ke 3 Ogos.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 7 Julai lalu menyebut Md Raus menyandang jawatan Ketua Hakim Negara bermula 4 Ogos selepas dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan mulai tarikh dan bagi tempoh yang sama.