Malaysia Dateline

Pelantikan Ketua Pemuda PH: Akmal ucap tahniah kepada Shazni

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengalu-alukan pelantikan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Shazni Munir Mohd Ithnin sebagai Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, beliau memilih untuk tidak memperpanjangkan proses pemilihan untuk kepentingan politik PH walaupun ada desakan daripada kepimpinan dan akar umbi AMK untuknya mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pemuda PH.

Menurutnya, beliau pada masa ini memberi tumpuan untuk memperkukuh dan memperkuat AMK dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya percaya AMK yang kuat akan secara langsung dapat membantu Pakatan Harapan khususnya jentera Pemuda PH.

“Justeru, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada saudara Shazni atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pemuda PH yang baharu,” ujarnya dalam kenyataan sebentar tadi.

Shazni Munir Mohd Ithnin

Sehubungan itu, Akmal menyeru untuk seluruh jentera Pemuda PH daripada semua sayap komponen parti untuk memperkukuh kesatuan memastikan Pemuda Harapan muncul sebagai koalisi gerakan pemuda yang kuat dan jitu.

Pemuktamadan pelantikan Ketua Pemuda PH dilihat penting bagi melancarkan kesepakatan gerak kerja sayap blok pembangkang itu untuk berdepan PRU-15 yang akan diadakan bila-bila masa tahun ini.

Sebelum PRU-14 pada 2018, kepimpinan Pemuda PH di peringkat pusat diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad yang kemudiannya menjadi Ahli Parlimen Setiawangsa.

Selepas Pemilihan PKR 2018 dan pertukaran kepimpinan AMK, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengetuai Pemuda PH pada 13 Disember 2018.

Jawatan itu kemudiannya kosong sejurus Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu meninggalkan PH pada Februari tahun lalu.