Malaysia Dateline

Pelantikan Latheefa atas faktor personaliti, silap perhitungan, kata penganalisis politik

 

Faktor personaliti Latheefa Beebi Koya dilihat sebagai ‘tiket’ bagi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memilih beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penganalisis Politik, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, personaliti Latheefa yang bebas rasuah dari segi tadbir urus membuatkan Dr Mahathir membelakangkan etika dan juga menteri kabinetnya dalam membuat keputusan pelantikan.

Beliau berkata, Perdana Menteri sememangnya mempunyai kuasa untuk melantik Ketua Pesuruhjaya sama ada dari SPRM atau pun pelantikan Ketua Polis Negara (KPN).

Namun katanya, SPRM adalah agensi ‘kritikal’ yang memerlukan sokongan semua pihak termasuk pembangkang dan juga masyarakat.

“Memang Latheefa itu tadbir urusnya bebas daripada rasuah, tetapi kaitan beliau dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan membuatkan agensi SPRM dipandang serong.

“Selepas ini, setiap tindakan SPRM akan dipandang sinis, terutama sekali jika ia melibatkan pembangkang.

“Dalam isu ini, SPRM juga dikhuatiri akan menjadi agensi yang telah mengikis kepercayaan rakyat disebabkan beliau adalah orang kuat dalam  parti politik,” katany kepada  Malaysia Dateline, ketika diminta mengulas mengenai isu pelantikan Ketua Pesuruhajaya baharu, yang menjadi kontroversi.

Azmi Hassan

Latheefa adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR sebelum beliau umum letak jawatan setelah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu pada 4 Jun lepas.

Dalam perkembangan sama, ketika ditanya kewajaran  Dr Mahathir menggunakan kuasanya (prerogrative)  untuk membuat sebarang keputusan, Azmi berpendapat kemungkinan Perdana Menteri telah tersilap membuat perhitungan.

Mengulas lanjut katanya, Dr Mahathir tersilap perhitungan dengan membuat andaian bahawa  karaktor Peguam dan Pengarah Eksekutif Lawyer For Libert itu, tidak akan menimbulkan sebarang tentangan, sebaliknya beliau mungkin terlupa  peguam tersebut adalah ahli politik yang aktif.

“Keadaan itu akan memberi persepsi serong terhadap janji Pakatan Harapan (PH) yang tidak akan melantik jawatan kerajaan berasaskan faktor politik.

“Faktor ini yang membuatkan ‘tindakan solo’ Perdana Menteri itu mendapat tentangan daripada rakan politik sendiri.

“Seperti mana Dr Mahathir mengambil kira pandangan beberapa menteri kanan dalam pelantikan KPN, maka sepatutnya dalam isu ini, beliau turut menggunakan budi bicara yang serupa.

“Justeru, saya berpendapat pelantikan jawatan kritikal sedemikian perlu mendapatkan persetujuan sekurang-kurangnya di peringkat kabinet,” jelasnya.

Selasa lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, mengumumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Latheefa dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal.

Pelantikannya adalah selaras dengan subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenan Yang di-Pertuan Agong.