Malaysia Dateline

Pelantikan Latheefa Koya tidak perlu rujuk jawatankuasa Parlimen, kata menteri

Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu melalui Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC), kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.

Liew berkata pelantikan Latheefa sejajar dengan undang-undang, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 5(1) Akta SPRM.

“Oleh itu, tak timbul keperluan untuk merujuk perkara itu kepada jemaah menteri atau PSC.

 “Seksyen 5(1) menyatakan Agong hendaklah, atas nasihat perdana menteri, melantik seorang ketua pesuruhjaya untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara pelantikannya.

“Dalam kes Latheefa, beliau dilantik untuk tempoh 2 tahun mulai 1 Jun 2019,” katanya dalam kenyataan pada Khamis  dipetik.

Latheefa, seorang peguam, menggantikan Mohd Shukri Abdull, yang memohon perkhidmatan kontraknya dipendekkan lebih awal sebelum kontrak berakhir 17 Mei 2020. Shukri sebelum ini memaklumkan kepada perdana menteri bahawa dia mahu berundur selepas 1 tahun berkhidmat.

Liew menjelaskan Seksyen 5(2) Akta SPRM pula memberikan senario sekiranya orang yang dilantik daripada perkhidmatan awam. Ia juga menyatakan tempoh pelantikan orang itu sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.

Beliau berkata 2 seksyen kecil itu jelas menunjukkan terdapat 2 jenis orang yang dibolehkan untuk pelantikan itu.

“Seorang dari luar perkhidmatan awam manakala seorang dari perkhidmatan awam. Apabila seorang dipilih mengikut subseksyen (1), maka subseksyen (2) sudah tidak perlu,” katanya.

Beliau berkata, seperti yang disebutkan oleh timbalan ketua pesuruhjaya SPRM, Azam Baki bahawa terdapat beberapa orang bukan daripada perkhidmatan awam yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya.

Menurut Azam, Latheefa adalah orang ke-10 daripada 13 individu yang dilantik dari luar perkhidmatan awam.