Pelantikan Liew mampu galak bukan Bumiputera sertai ATM, kata Mohamad

Pelantikan Liew mampu galak bukan Bumiputera sertai ATM, kata Mohamad

Pelantikan Senator Liew Chin Tong sebagai Timbalan Menteri Pertahanan yang pertama dalam kalangan bangsa Cina akan memberi galakan kepada kaum bukan Bumiputera menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata pihaknya tidak mahu kaum Bumiputera sahaja menyertai ATM, sebaliknya mahu juga penglibatan kaum Cina dan India menyertai pasukan keselamatan itu.

“Saya yakin kita perlu membuat galakan (penyertaan kaum lain dalam ATM) sekarang kerana kita tidak mahu kerja menjaga pertahanan negara ini dianggap kerja Bumiputera sahaja. Walaupun dalam ATM kini ada kaum Cina dan India, tetapi amat kurang.

“Saya lihat perdana menteri kita seorang yang berani melantik Pengerusi DAP Johor menjadi timbalan menteri pertahanan,” katanya pada sidang media pada majlis perhimpunan bulanan kementeriannya semalam lapor Bernama.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Halimi Abd Manaf, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Affendi Buang.

Pada 17 Julai lalu, Liew mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah simpan rahsia sebagai timbalan menteri pertahanan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

 

CATEGORIES