Pelantikan Madinah meragukan

Pelantikan Madinah meragukan

Perlantikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad sebagai Ketua Audit Negara yang baru menggantikan Tan Sri Ambrin Buang menimbulkan seribu satu keraguan.

” Macamana rakyat tidak ragu dengan perlantikan itu sama seperti perlantikan Apandi Ali sebagai Peguam Negara tempohari.

“Kalau Apandi Ali dulu pernah menjadi pemimpin Umno di peringkat negeri Kelantan, Madinah pula adalah isteri kepada Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid.

“Lebih parah lagi Ridzuan dilihat merupakan penyokong tegar Najib.

“Beliau pernah mengeluarkan kenyataan di mana beliau sanggup mati demi mempertahankan Najib. Ini semua sudah cukup untuk menimbulkan keraguan kepada rakyat,” ujar Mohd Sofi Abdul Wahab Timbalan Pengerusi Amanah Melaka hari ini.

Beliau berkata, sewajarnya kerajaan terlebih dahulu meneliti sebarang pelantikan untuk jawatan penting kerajaan.

“Sepatutnya kerajaan membuat penelitian yang cermat sebelum membuat perlantikan untuk jawatan-jawatan penting yang memerlukan bukan sahaja kompetensi tetapi juga integriti.

“Mana mungkin seorang yang membuat hubungan dengan kerajaan dan parti kerajaan dilantik untuk menjawat jawatan yang sepenting itu, atau mungkin Najib dan kerajaannya sengaja mencari orang-orang ‘seperti ini’ untuk jawatan tersebut,” ujarnya.

Kata beliau lagi, pelantikan Madinah bukan sahaja dipersoalkan dari segi integriti tetapi juga dari segi kompetensi.

Madinah yang pernah menjadi Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan tidak menunjukkan rekod yang cemerlang semasa perkhidmatannya. Kementerian Pendidikan di bawah pengurusan beliau banyak ditegur oleh Jabatan Audit Negara contohnya projek 1Bistarinet Fasa 1 dan sebagainya.

“Sepatutnya kerajaan yang ada hari ini bukan sahaja bersih tetapi juga dilihat bersih dan telus dalam apa juga keputusan yang dibuat.

“Seseorang calon Ketua Audit Negara mestilah kompeten, berintegriti, bebas dari pengaruh politik, telus, adil dan tidak berkepentingan. Dari segi kompetensi adalah jelas jawatan ini memerlukan seseorang yang mempunyai pengalaman luas dari segi aspek kewangan, pengurusan, terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan sebelumnya.

“Jelas sekali perlantikan Madinah amat meragukan. Kerajaan digesa supaya mengkaji semula perlantikan ini demi masa depan negara dan kepentingan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Semalam Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menumumkan pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tan Sri Dr Madinah Mohamad dilantik sebagai Ketua Audit Negara yang baharu untuk tempoh dua tahun mulai 23 Februari ini.

Pelantikan itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Ambrin Buang yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 22 Februari.

Madinah, 60, berkelulusan Sarjana Muda (Kepujian) Sains Politik daripada Universiti Sains Malaysia, Sarjana Sains dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia masing-masing daripada Universiti Putra Malaysia.

Beliau merupakan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan sebelum bersara wajib pada 3 September tahun lalu.

Tan Sri  Ali Hamsa ketika menyampaikan watikah pelantikan sebagai Ketua Audit Negara kepada Madinah di Putrajaya semalam.