Pelantikan MB bukan untuk puak tertentu, kata Sultan Perlis

Pelantikan MB bukan untuk puak tertentu, kata Sultan Perlis

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah menegaskan bahawa pelantikan menteri besar akan dibuat berpandukan undang-undang tubuh kerajaan negeri dan tidak akan dibuat untuk memenuhi kepentingan seseorang individu atau puak tertentu

Titah baginda itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan mempersembahkan beberapa nama termasuk adiknya Datuk Ismail Kassim kepada Tuanku Syed Sirajuddin pada Sabtu, untuk mendapat perkenan baginda.

“Ada beberapa nama dibawa kepada saya tetapi saya tidak dapat buat keputusan kerana tidak mengenali mereka langsung.

“Pihak yang menang sepatutnya bawa calon-calon mereka untuk diperkenalkan supaya mudah untuk saya membuat keputusan tetapi perkara itu tidak dilakukan,” titah Sultan.

Pada 2008 pelantikan menteri besar mengambil masa hingga dua minggu.

Dalam pada itu, baginda berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meminggirkan Perlis sebagai negeri pembangkang.

Baginda mengucapkan tahniah kepada PH atas kemenangan mereka pada PRU14.

Menurut baginda menteri besar yang dilantik kelak mestilah boleh melaksanakan projek pembangunan yang dirancang berikutan Perlis kini menjadi negeri pembangkang setelah Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Rabu lepas.

“Keputusan yang akan saya buat nanti adalah atas nama rakyat,” titah baginda yang sedar bahawa rakyat dalam kegelisahan kerana jawatan itu masih belum dipenuhi.

Baginda menasihatkan rakyat supaya bersabar menunggu pelantikan itu.

Pada PRU14, Perlis kekal di bawah penguasaan BN yang memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Jawatan menteri besar sebelum ini disandang oleh Datuk Seri Azlan Man.