Pelantikan MB Johor dalam waktu terdekat, kata Mahathir

Pelantikan MB Johor dalam waktu terdekat, kata Mahathir

Pelantikan pemangku Menteri Besar Johor akan dilakukan secepat mungkin, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya pada masa ini, terdapat beberapa senarai calon untuk jawatan itu, namun menegaskan ia akan mengambil sedikit masa.

“Kita nak tentukan calon. Ada beberapa calon kita nak pilih tetapi ia ambil masa sedikit, tetapi kita akan pilihnya secepat mungkin,” katanya selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur 2019 (KLIFF 2019) hari ini.

Semalam, Dr Mahathir memaklumkan bahawa Datuk Osman Sapian telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Johor.

Perdana Menteri berkata Osman menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sementara itu, ditanya pihak mana yang akan membuat keputusan berhubung pemilihan calon Menteri Besar Johor, Dr Mahathir berkata: “Ini adalah hal politik…Tugas sekarang adalah kepada parti yang menang pilihan raya untuk menentukan siapa yang memimpin.”katanya. BERNAMA.